Terkini
Kemiskinan haid : Penduduk Pulau Mabul pilih pakai kain bukan sebab miskin – NGO Sedulur
Pengasas pertubuhan Sedulur, Nikarman Nikman yang menjuarai isu masyarakat di Sabah menceritakan komuniti di sana terutama masyarakat Pulau Mabul menggunakan kain semasa kedatangan haid.

- Pengasas pertubuhan Sedulur, Nikarman Nikman menceritakan komuniti di Pulau Mabul menggunakan kain semasa kedatangan haid.
- “Ini adalah budaya mereka di sini.Di setiap kawasan itu ada cara penjagaan dan juga cara pengendalian datang bulan itu sendiri,” katanya pada Isnin.
- Demi meraikan budaya tersebut kebanyakan NGO seperti Sedulur dan PeduliMerah tidak memberikan pad di kawasan pedalaman sebaliknya wanita-wanita di sana diajar menjahit tuala wanita tersebut.
- Jelas beliau kemiskinan haid yang berlaku di Pulau Mabul khususnya bukanlah kerana masalah kewangan tetapi pengurusan haid itu sendiri.
SABAH: Pengasas pertubuhan Sedulur, Nikarman Nikman yang menjuarai isu masyarakat di Sabah menceritakan komuniti di sana terutama masyarakat Pulau Mabul menggunakan kain semasa kedatangan haid.
“Wanita-wanita berumur di Pulau Mabul memakai kain yang dijahit dengan cantik bukan tuala wanita yang kita gambarkan seperti pad.
“Ini adalah budaya mereka di sini. Di setiap kawasan itu ada cara penjagaan dan juga cara pengendalian datang bulan itu sendiri,” katanya pada Isnin.
Tambah Nikarman, demi meraikan budaya tersebut kebanyakan NGO seperti mereka dan PeduliMerah tidak memberikan pad di kawasan pedalaman sebaliknya wanita-wanita di sana diajar menjahit tuala wanita tersebut.
“Kami ajar menjahit dari rumah ke rumah kemudiannya kami turut menghadiahkan pad diperbuat dari kain yang boleh dicuci dan dikeringkan untuk kegunaan semula kerana kami faham bahawa penduduk tidak dapat mengendalikan pad pakai buang dengan lebih baik,” katanya.
Jelas beliau kemiskinan haid yang berlaku di Pulau Mabul khususnya bukanlah kerana masalah kewangan tetapi pengurusan haid itu sendiri.
“Di pulau-pulau kita lihat kalau kita bagi sahaja tuala wanita kepada penduduk di lokasi sebegini, apa yang terjadi kebanyakan tuala wanita itu akan kelihatan terapung di laut,” kata Nikarman permasalahan itu timbul kerana penduduk sekitar tidak tahu bagaimana cara menguruskan tuala wanita dengan baik.
“Tuala wanita itu sebenarnya perlu diuruskan dengan penyediaan tong-tong yang disediakan untuk menempatkan tuala wanita dan diambil secara berkala tetapi dalam isu ini ia tiada kemudahan itu.
“Oleh itu, saya melihat ini bukan kemiskinan haid melibatkan kewangan tetapi lebih kepada pengurusan,” ujarnya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Nikarman yang ketika itu berada di Pantai Timur, Sabah berkata wanita disana kebanyakan tidak terlibat secara langsung dengan dunia luar jadi pemakaian pad yang disifatkan membuatkan wanita lebih bebas bergerak bukan pilihan wanita kepulauan itu.
“Bezanya disini walaupun datang bulan mereka tidak perlu terlalu aktif sebab stigma masyarakat perempuan di sini tidak perlu bergerak ke tempat luar sebagai contoh pergi bekerja jadi pemakaian pad itu bukanlah satu pilihan bagi mereka,” jelas beliau yang turut memetik iklan produk tuala wanita yang kebiasaan disiarkan menunjukkan walaupun datang bulan wanita masih aktif dan bergerak bebas.
Beliau turut menafikan bahawa wujud ketidakmampuan untuk mengakses produk tuala wanita di kepulauan itu kerana menurutnya penduduk dapat membeli pad dengan harga serendah 50 sen sahaja namun kebanyakan daripada mereka lebih memilih untuk membeli makanan.
Katanya, tahap kefahaman kemiskinan haid masih perlu diperhalusi agar penyelesaian tuntas diperolehi.
