Terkini
Penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta berkaitan
Penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta-akta berkaitan adalah antara isu yang dibincangkan dalam sesi libat urus berkaitan cadangan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676), yang diadakan semalam.
- Penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta-akta berkaitan antara isu dibincangkan dalam sesi libat urus berkaitan cadangan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) di Putrajaya semalam.
- Isu lain dibincangkan dalam sesi libat urus itu adalah cabaran yang dihadapi semasa siasatan, proses pendakwaan, perbicaraan dan pasca perbicaraan bagi kes jenayah yang melibatkan mangsa dan saksi kanak-kanak.
- Turut dibincangkan undang-undang baharu untuk membendung eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak, pembayaran pampasan oleh tertuduh pada mangsa, bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak serta perkasakan perkhidmatan pendamping guaman yang sedia ada.
- Selain itu, penerimaan keterangan saksi kanak-kanak oleh mahkamah tanpa keterangan sokongan.
- Akhir sekali, kewujudan elemen tanggungan keras dalam undang-undang berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak dalam keadaan tertentu dan pemberian kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengekstrak keterangan daripada alat digital dan komunikasi.
PUTRAJAYA: Penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta-akta berkaitan adalah antara isu yang dibincangkan dalam sesi libat urus berkaitan cadangan pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676), yang diadakan semalam.
Sesi libat urus itu melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan pihak berkepentingan berlangsung di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri itu, ia memaklumkan sesi libat urus itu bertujuan untuk mendapatkan cadangan, pandangan dan maklum balas berkaitan cadangan pindaan terhadap Akta 792 dan Akta 676.
“Pindaan terhadap akta yang berkaitan adalah penting bagi memastikan keberkesanan sistem pengadilan jenayah dalam mengendalikan kes kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Isu lain yang dibincangkan dalam sesi libat urus itu adalah cabaran yang dihadapi semasa siasatan, proses pendakwaan, perbicaraan dan pasca perbicaraan bagi kes jenayah yang melibatkan mangsa dan saksi kanak-kanak.
Ia turut membincangkan mengenai peruntukan undang-undang baharu untuk membendung eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak, pembayaran pampasan oleh tertuduh kepada mangsa, bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak serta memperkasakan perkhidmatan pendamping guaman yang sedia ada.
Turut dibincangkan ialah mengenai penerimaan keterangan saksi kanak-kanak oleh mahkamah tanpa keterangan sokongan.
Turut dibincangkan ialah mengenai kewujudan elemen tanggungan keras dalam undang-undang berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak dalam keadaan tertentu dan pemberian kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengekstrak keterangan daripada alat digital dan komunikasi.
Kenyataan Pejabat Menteri itu menyebut kerajaan komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia.
Namun, ia memaklumkan penubuhan suruhanjaya itu memerlukan pandangan pelbagai pemegang taruh dan juga penggubalan suatu akta.
“Sebagai penyelesaian jangka masa pendek, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia),” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Sumber: Astro Awani