Terkini
Pindaan Terengganu jenayahkan hamil luar nikah ancam hak, sistem kesihatan wanita?
Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2022, khusus Seksyen 29A, dilaksanakan di Terengganu bagi menjenayahkan kehamilan dan kelahiran luar nikah didakwa akan mengancam dan melemahkan perlindungan serta hak wanita juga penjagaan kesihatan.
- Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata pindaan itu merupakan keadaan mengerikan kerana ia akan memberi kesan langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan wanita di Malaysia.
- “Adakah wanita dan kanak-kanak perempuan merasakan kemudahan penjagaan kesihatan seperti klinik wanita bukan lagi ruang selamat kerana rawatan dan penjagaan mereka boleh digunakan sebagai bukti terhadap mereka? Adakah akses kepada kontraseptif(alat/pil pencegah kehamilan) akan terancam?”
- “Daripada menghukum wanita dan kanak-kanak perempuan, kita perlu melindungi dan menambah baik akses kepada kontraseptif supaya wanita boleh memilih dan merancang kehamilan mereka,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2022, khusus Seksyen 29A, dilaksanakan di Terengganu bagi menjenayahkan kehamilan dan kelahiran luar nikah didakwa akan mengancam dan melemahkan perlindungan serta hak wanita juga penjagaan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib dalam kenyataanya berkata, pindaan itu merupakan keadaan mengerikan kerana ia akan memberi kesan langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan wanita di Malaysia.
Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, pindaan itu termasuk memaksimumkan hukuman berdasarkan Peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Azrul menyifatkan hukuman itu sebagai tindakan kejam kerana ia dilihat seolah-olah tiada pemikiran mahupun pertimbangan diberikan untuk kesihatan, perlindungan atau kebajikan wanita atau anaknya.
“Undang-undang sebegini berpotensi meletakkan pekerja penjagaan kesihatan kita dalam situasi yang sukar dan mustahil. Diktum (prinsip) “yang pertama tidak mudarat” dimasukkan ke dalam kod kelakuan semua profesional penjagaan kesihatan.
“Adakah mereka dijangka melaporkan kes luar nikah kepada pihak berkuasa agama apabila seorang wanita atau gadis mendapatkan penjagaan antenatal, perinatal dan selepas bersalin untuk kehamilan mereka?”
“Adakah wanita dan kanak-kanak perempuan merasakan kemudahan penjagaan kesihatan seperti klinik wanita bukan lagi ruang selamat kerana rawatan dan penjagaan mereka boleh digunakan sebagai bukti terhadap mereka? Adakah akses kepada kontraseptif(alat/pil pencegah kehamilan) akan terancam?
“Adakah wanita dan kanak-kanak perempuan akan dipaksa untuk melakukan pengguguran yang tidak selamat kerana keadaan yang tidak mengizinkan? Bagaimana jika kehamilannya menjadi ancaman kepada nyawanya dan ia menjadi pilihan antara didakwa selepas mendapatkan rawatan atau mempertaruhkan nyawanya?” kata Azrul dalam kenyataannya dikeluarkan di portal Galen Centre pada 4 Disember lalu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan kekurangan kesihatan reproduktif pilihan tidak sepatutnya membebankan nyawa wanita atau gadis.
“Kehamilan yang tidak diingini selalunya adalah akibat wanita tidak mempunyai hak ke atas tubuh mereka sendiri. Jika kita boleh memberi hak kepada gadis dan wanita untuk memiliki badan mereka, mereka boleh memiliki masa depan mereka,” katanya dalam persidangan Galen Centre mengenai “Menangani Kehamilan Tidak Diinginkan di Malaysia” pada Mei.
Azalina juga menekankan tentang keperluan untuk mengenal pasti dan mengkaji semula perundangan sedia ada yang kini mewujudkan persekitaran stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang mengalami atau berhadapan dengan akibat kehamilan yang tidak diingini.
Azrul berkata keganasan seksual dan jantina adalah realiti bagi kebanyakan wanita dan gadis di Malaysia. Lihat data kesihatan kami tentang kehamilan, kesihatan ibu dan kematian bayi. Kehamilan yang dikehendaki dan tidak diingini berlaku setiap hari.
“Bukti dan kajian dari negara ini dan lain-lain, jelas menunjukkan bahawa tindakan punitif tidak berkesan dan mengabaikan realiti.
“Perundangan sebegini sebaliknya mewujudkan penderitaan, kesakitan atau penghinaan yang tidak perlu kepada wanita dan anaknya. Daripada menghukum wanita dan kanak-kanak perempuan, kita perlu melindungi dan menambah baik akses kepada kontraseptif supaya wanita boleh memilih dan merancang kehamilan mereka,” kata Azrul.
Sumber : Galen Centre