Antarabangsa
Majlis Ulama Indonesia bantah lawatan utusan LGBTQ dari AS
Badan pentadbiran Islam tertinggi Indonesia pada Khamis lalu menentang lawatan utusan hak LGBTQ Amerika Syarikat (AS) dengan mengatakan mereka tidak akan mengalu-alukan tetamu yang niatnya menjejaskan nilai budaya dan agama negara itu, demikian laporan Benar News.
- Badan pentadbiran Islam tertinggi Indonesia pada Khamis lalu membantah lawatan utusan hak LGBTQ Amerika Syarikat dengan mengatakan mereka tidak akan mengalu-alukan tetamu yang niatnya menjejaskan nilai budaya dan agama negara itu.
- “Jika tingkah laku ini dibiarkan, ia bawa kepada kepupusan manusia, kerana jika lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita, mereka tidak akan membiak.” – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI)
- Utusan khas Amerika Syarikat itu, Jessica Stern dilaporkan akan bertemu pegawai kerajaan dan wakil masyarakat sivil untuk berbincang berkenaan hak asasi LGBTQI+.
- Kerajaan AS batalkan lawatan itu melalui pengumuman dibuat duta Amerika di Jakarta pada Jumaat lalu berikutan berhadapan bantahan dan kecaman daripada badan pentadbiran Islam tertinggi Indonesia.
Badan pentadbiran Islam tertinggi Indonesia pada Khamis lalu menentang lawatan utusan hak LGBTQ Amerika Syarikat (AS) dengan mengatakan mereka tidak akan mengalu-alukan tetamu yang niatnya menjejaskan nilai budaya dan agama negara itu, demikian laporan Benar News.
Utusan khas Amerika Syarikat bagi LGBTQI+, Jessica Stern dijadualkan melawat Indonesia pada 7 Dis ini selepas melawat Vietnam dan Filipina.
Semasa lawatannya ke Asia Tenggara, Stern dilaporkan akan bertemu dengan pegawai kerajaan dan wakil masyarakat sivil untuk berbincang berkenaan niat mereka ingin memajukan hak asasi manusia LGBTQI+, demikian menurut Jabatan Negara AS di laman webnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), Anwar Abbas menegaskan pertubuhan itu secara mutlak menolak lawatan utusan khas itu.
“MUI tidak boleh mengalu-alukan tetamu yang tujuannya datang ke sini adalah untuk merosakkan dan melemahkan nilai agama dan budaya bangsa kita.
“Jika tingkah laku ini dibiarkan, ia akan membawa kepada kepupusan manusia, kerana jika lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita, mereka tidak akan membiak,” kata Anwar yang turut menyifatkan tingkah laku homoseksual sebagai berbahaya.
Pengerusi MUI Cholil Nafis, ahli lembaga pengarah di Nahdlatul Ulama, pertubuhan Islam terbesar di negara itu, membuat ciapan di Twitter mengatakan bahawa pegawai Indonesia tidak seharusnya meluangkan masa untuk bertemu utusan LGBT.
Hubungan sama jenis bukanlah satu kesalahan jenayah di Indonesia kecuali di wilayah Aceh tetapi negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai penduduk di dunia itu menunjukkan sentimen anti-LGBTQ.
Aceh, menjadi satu-satunya wilayah menggunakan undang-undang Islam di Indonesia, di mana pasangan sama jantina dirotan sekiranya mahkamah syariah mendapati mereka bersalah kerana berhubungan intim.
Baru-baru ini, tentera Indonesia yang mengharamkan hubungan sesama jantina dengan menyifatkannya sebagai kelakuan tidak wajar, menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas dua askar kerana melakukan hubungan fizikal.
Malah kedua-duanya diberhentikan dari tentera, lapor agensi berita AFP.
Sumber : Benar News