Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Pakar geopolitik ramal Turkiye jadi sasaran potensi Israel, AS selepas Iran

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Profesor dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam

 

BANGI – Perdebatan tentang “siapa selepas Iran” bukan sekadar spekulasi, malah merupakan persoalan strategik yang sangat penting dalam menganalisis corak dominasi kuasa besar di rantau Asia Barat dan sekitarnya.

Berikut antara hujah Profesor dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam sewaktu mengupas isu geopolitik pasca serangan terhadap Iran dan siapa yang mungkin menjadi sasaran seterusnya oleh Israel dan Amerika Syarikat.

“Ada yang berpendapat sasaran seterusnya ialah Pakistan, namun bagi saya, Turkiye merupakan calon yang lebih berisiko tinggi,” kata Prof Mizan dalam sesi wacana Bicara Persada anjuran Institut Pembangunan Dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) yang membincangkan tajuk “Perang Israel-Iran: Implikasi ke atas Malaysia dan Orde Baharu Dunia” yang berlangsung di UKM Bangi.

Menurut beliau Turkiye kini mempunyai pengaruh ketenteraan yang meluas di Syria, Iraq dan juga pangkalan tentera berhampiran Lubnan, perkembangan yang dilihat berpotensi mengganggu projek perluasan kuasa Israel di wilayah tersebut.

“Dengan kedudukan geografi yang strategik dan pengaruh Turkiye dalam wilayah-wilayah kritikal, ini pastinya mengundang perhatian pihak Zionis dan Amerika,” jelas beliau.

Namun, Prof Mizan menegaskan bahawa situasi geopolitik bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan semasa.

“Setiap keputusan bergantung kepada faktor semasa, baik dari segi politik, ekonomi mahupun isu dalaman negara-negara terlibat,” tambahnya.

Dalam konteks pertahanan Malaysia, Prof Mizan menyatakan bahawa kekuatan ketenteraan negara bukan bertunjangkan doktrin peperangan, tetapi lebih kepada menjaga kebajikan anggota.

Belanjawan pertahanan banyak diperuntukkan kepada infrastruktur dan kesejahteraan berbanding pemilikan aset tempur berat. Walaupun begitu, Malaysia dilihat mula meningkatkan keupayaan pertahanan secara berperingkat.

Antara langkah signifikan ialah pembelian helikopter, kapal tentera laut dan pesawat tempur ringan seperti F-50 dari Korea Selatan yang akan diterima mulai tahun 2027, selain kerjasama strategik dengan Turkiye.

“Walaupun aset kita tidak setanding pesawat seperti F-35 milik AS, namun kelebihan kita terletak pada kekuatan infantri serta penyesuaian geografi, terutama dalam peperangan hutan,” ujar beliau.

Beliau turut menyentuh bahawa dalam peperangan konvensional, kelebihan sebenar bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga kekuatan tenaga manusia yang disiplin dan bersedia menjadi ‘superhero’, bukan sekadar hero biasa.

“Pakistan mampu menewaskan India bukan kerana senjata canggih, tetapi kerana kekuatan tenaga manusia dan taktikal yang efektif,” katanya sambil mengingatkan keperluan untuk Malaysia terus memperkasa sumber manusia dalam ketenteraan.

Foto: Dari kiri Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr Anuar Ahmad, Ketua Pengarang The Merdeka Times, Syafinaz Yunus, Pengarah Pusat Pemikiran dan Hala Tuju Negara (MINDA UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, Profesor dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam & Pengarah Bahagian Hubungan Perdagangan dan Ekonomi Dua Hala MITI, Raveendran Nair.

Dalam program yang berlangsung selama dua jam setengah itu turut melibatkan Pengarah MINDA UKM, Prof Tan Sri Dato Seri Dr Noor Azlan Ghazali, Pengarah Bahagian Hubungan Perdagangan dan Ekonomi Dua Hala MITI, Raveendran Nair serta Ketua Pengarang The Merdeka Times, Syafinaz Yunus selaku moderator.

Bicara Persada merupakan platform wacana ilmiah anjuran UKM yang menghimpunkan pakar akademik serta penganalisis strategik dalam membedah isu-isu global semasa dan kesannya ke atas Malaysia. -The Merdeka Times

Author