Antarabangsa
Imran Khan ditembak di Pakistan, keadaan kini stabil
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan terselamat daripada serangan senjata api ke atas konvoinya ketika mengadakan perarakan bantahan di bandar timur Wazirabad semalam, demikian lapor BBC.
- Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ditembak ketika perarakan bantahan di bandar timur Wazirabad semalam.
- Tembakan dilepaskan seorang lelaki dan mengenai kenderaan Imran Khan.
- Imran Khan cedera di kaki, seorang terbunuh dan sekurang-kurangnya lima tercedera.
- Perarakan diketuai Imran Khan itu sedang menuju ke ibu kota Islamabad dan bertujuan menuntut pilihan raya awal.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan terselamat daripada serangan senjata api ke atas konvoinya ketika mengadakan perarakan bantahan di bandar timur Wazirabad semalam, demikian lapor BBC.
Bagaimanapun, Imran Khan cedera di kaki apabila tembakan mengenai kenderaannya.
Seorang terbunuh dan sekurang-kurangnya lima cedera.
Tiada kenyataan rasmi segera mengenai motif serangan itu.
Perarakan bantahan itu bertujuan menuntut pilihan raya awal.
Imran Khan yang mengetuai bantahan itu sepatutnya membawa perarakan itu berakhir di ibu kota Islamabad.
Bekas bintang kriket antarabangsa yang menjadi ahli politik itu dilihat dibawa ke hospital di Lahore.
Menurut jurucakap parti, tembakan mengenai bahagian tulang kaki Imran Khan.
Wartawan tempatan, Zoraiz Bangash, yang melihat serangan itu, memberitahu BBC, “semuanya bermula apabila Khan mengetuai perhimpunan itu. Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dan kami melihat ada seseorang memegang pistol 9mm. Ketika dia melepaskan beberapa das tembakan, malangnya tembakan terkena beberapa pimpinan PTI serta Imran Khan yang ditembak di kaki.”
Imran Khan kini berada dalam keadaan stabil, namun mungkin memerlukan pembedahan.
Susulan itu, polis tempatan mengeluarkan video seorang lelaki yang ditangkap dan membuat pengakuan cuba membunuh bekas perdana menteri itu.
Lelaki itu ditanya polis mengapa dia melepaskan tembakan.
Pelaku berkata, “Dia (Imran Khan) menyesatkan orang ramai. Saya mahu membunuhnya. Saya cuba membunuhnya”.
Dalam program Newshour BBC World Service, seorang pembantu kanan dan jurucakap Imran Khan menuduh kerajaan Pakistan “terlibat secara langsung” dalam serangan itu.
Sumber: BBC