Terkini
(VIDEO) Tular insiden buli di MRSM: “You Touch, You Go!” – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR — Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan berlaku insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air susulan tular video memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak, duduk dan menekup bantal pada seorang pelajar lain.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan dan kesemua pelajar yang terlibat digantung sekolah terlebih dahulu supaya tidak mengganggu proses siasatan.
Asyraf berkata tindakan itu juga untuk memberikan mesej yang jelas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu terbabit.
“Kalau didapati perkara ini memang benar-benar berlaku dan bersalah, kita di peringkat MARA dan MRSM tidak akan sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan diambil.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua pelajar-pelajar sama ada di MRSM mahupun di mana-mana institusi pendidikan MARA. Saya telah tegaskan beberapa kali prinsip, ‘You Touch, You Go!’.
“Kita tidak boleh kompromikan sebarang bentuk buli ataupun sebarang budaya buli dalam apa juga bentuk sama ada fizikal mahupun mental untuk berlaku di mana-mana institusi pendidikan MARA,” katanya menerusi klip video dimuat naik di X di sini hari ini.
Asyraf Wajdi beberapa jam sebelum memuat naik video itu, terlebih dahulu memuat naik tangkap layar hantaran Facebook Utara Kini yang tular dengan kapsyen,“Ni buli ka melawak kasaq? Kejadian dirakamkan di sebuah MRSM di Pulau Pinang” berserta video berdurasi satu minit 31 saat.

Foto: Ciapan Dr Asyraf Wajdi di X hari ini.
Video itu menyaksikan perbuatan sekurang-kurangnya dua pelajar lelaki mengasari seorang pelajar lelaki lain yang sedang baring di atas katil. Mereka dilihat melompat atas badan mangsa dan juga memukulnya menggunakan tali pinggang.
Ada pelajar lain dilihat berada di sekeliling, termasuk individu yang merakam kejadian itu bagaimanapun, tiada sebarang usaha untuk menghentikan perbuatan berkenaan kelihatan dilakukan.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi mengingatkan bahawa MARA adalah medan untuk melahirkan pemimpin.
“Mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin yang dangkal akal budinya dan tercemar adab dan perilaku akhlak. Ingatlah You Touch, You Go!” katanya. — The Merdeka Times
