Connect with us

Terkini

Larangan papar produk tembakau pada 1 April bakal ‘diganggu’ pihak industri?

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • “Adakah 1 April nanti rakyat Malaysia bakal kena tipu?”
  • Itu persoalan dibangkitkan Medical Mythbusters Malaysia (M3) iaitu sebuah gagasan dianggotai ahli perubatan bertauliah susulan bimbang dengan campur tangan industri tembakau yang berkemungkinan akan menunda pelaksanaan larangan papar produk tembakau di kedai runcit.Mulai 1 April ini, produk tembakau tidak lagi boleh dipamerkan secara terbuka di kedai-kedai di beberapa negeri, sebaliknya ia dilaporkan mesti disimpan di dalam kabinet tertutup dan tidak boleh dilihat secara langsung oleh pelanggan.
  • M3 berkata kebimbangan pihaknya timbul dalam hal ini kerana menurut Indeks Gangguan Industri Tembakau Global 2023 (Global Tobacco Index score), Malaysia mencatat skor 76 yang menunjukkan peningkatan gangguan industri tembakau berbanding tahun-tahun sebelumnya. ​

KUALA LUMPUR — “Adakah 1 April nanti rakyat Malaysia bakal kena tipu?”

Itu persoalan dibangkitkan Medical Mythbusters Malaysia (M3) iaitu sebuah gagasan dianggotai ahli perubatan bertauliah susulan bimbang dengan campur tangan industri tembakau yang berkemungkinan akan menunda pelaksanaan larangan papar produk tembakau di kedai runcit.

Mulai 1 April ini, produk tembakau tidak lagi boleh dipamerkan secara terbuka di kedai-kedai di beberapa negeri, sebaliknya ia dilaporkan mesti disimpan di dalam kabinet tertutup dan tidak boleh dilihat secara langsung oleh pelanggan.

Langkah itu selaras Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang melarang paparan produk merokok di tempat jualan seperti premis makanan dan kedai runcit. Akta itu dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, merangkumi peraturan mengenai pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, serta larangan merokok di tempat awam.

Mengulas lanjut, M3 berkata kebimbangan pihaknya timbul dalam hal ini kerana menurut Indeks Gangguan Industri Tembakau Global 2023 (Global Tobacco Index score), Malaysia mencatat skor 76 yang menunjukkan peningkatan gangguan industri tembakau berbanding tahun-tahun sebelumnya. ​

“Sebaliknya, negara jiran kita, Brunei Darussalam, telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi dasar kesihatan awam daripada gangguan industri tembakau. Brunei mencatat skor 14 dalam indeks yang sama, menjadikannya negara dengan gangguan industri tembakau paling rendah di dunia. ​

“Kejayaan Brunei adalah hasil daripada langkah-langkah tegas seperti tidak menerima sumbangan atau sokongan daripada industri tembakau, serta melarang aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berkaitan dengan industri tersebut. ​

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Medical Mythbusters Malaysia.

“Sebagai masyarakat yang prihatin, kita harus menyokong pelaksanaan larangan paparan produk tembakau (display ban) ini dan menolak sebarang bentuk campur tangan industri tembakau.

“Dengan mencontohi langkah-langkah diambil Brunei, kita dapat melindungi generasi akan datang daripada bahaya merokok dan memastikan kesihatan awam terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Isnin.

Sebelum ini, lobi yang kuat daripada wakil industri tembakau dan vape dilihat pernah dikaitkan dengan pengguguran dasar generasi penamat (GEG) di mana menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui tekanan penggiat industri rokok dan vape yang ‘melobi’ kerajaan menyebabkan KKM terpaksa mengubah keputusan untuk merealisasikan GEG.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata disebabkan tekanan itu menyebabkan berlaku pertindihan pandangan antara kerajaan, ahli Dewan Rakyat dan pemain industri berhubung pelaksanaan GEG.

Bagaimanapun,  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan menafikan perkara itu dengan menyatakan peruntukan GEG dalam penggunaan tembakau dan vape tidak berjaya kerana terdapat isu perlembagaan, bukan kerana pengaruh pelobi.

Pada tahun lalu, Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) dilapor menyuarakan kebimbangan ke atas cadangan larangan paparan untuk produk tembakau dan vape dengan menganggarkan unjuran kos pelaksanaan sebanyak RM200 juta.

Anggaran itu berdasarkan tinjauan pendapat dijalankan dalam kalangan ahli FSGMAM untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan langkah yang akan diperkenalkan di bawah Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak lama lagi.

Tinjauan yang mendapat maklum balas daripada 256 ahli itu, mendedahkan majoriti menolak cadangan larangan produk tembakau dan vape dipamerkan secara runcit iaitu sebanyak 96.9 peratus, dengan responden menganggarkan setiap premis runcit perlu membayar sehingga RM5,000 untuk membuat pelarasan bagi mematuhi larangan tersebut.

Antara impak lain yang turut dinyatakan, termasuk penurunan hasil sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus menjejaskan perniagaan mereka dengan ketara (82.1peratus), meningkatkan kos operasi kerana perlu mengambil lebih ramai kakitangan (69.5 peratus), pengguna beralih kepada produk seludup (40.6 peratus), dan penurunan dalam jualan produk selain tembakau dan vape (29.7 peratus).— The Merdeka Times

Author