Terkini
Saravanan tidak teruskan debat dengan Zamri

- “Setelah meneliti dan memperhalusi pandangan serta nasihat Kerajaan Perpaduan, Presiden MIC dan polis saya memutuskan supaya debat ini tidak diteruskan demi keharmonian dan perpaduan negara.” – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
- Saravanan menegaskan debat dirancang bukanlah berkaitan perbandingan agama sebaliknya bertujuan membetulkan tuduhan dibuat Zamri Vinoth mengenai unsur keagamaan dalam perayaan Hindu.
KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memutuskan tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu demi menjaga perpaduan negara.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
“Setelah meneliti dan memperhalusi pandangan serta nasihat Kerajaan Perpaduan, Presiden MIC dan polis, saya memutuskan supaya debat ini tidak diteruskan demi keharmonian dan perpaduan negara,” katanya dipetik media tempatan dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Saravanan sebelum ini dilaporkan menetapkan tarikh debat dengan Zamri Vinoth pada 23 Mac ini berikutan kenyataan kontroversi pendakwah bebas itu yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Isu terbabit mulai timbul apabila tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan perselisihan.
Sementara itu, Saravanan menegaskan debat dirancang bukanlah berkaitan perbandingan agama sebaliknya bertujuan membetulkan tuduhan dibuat Zamri Vinoth mengenai unsur keagamaan dalam perayaan Hindu.
“Saya ingin menjelaskan bahawa ramai orang salah tafsir mengenai debat ini, tetapi sebenarnya ia bukanlah berkaitan dengan mana-mana agama lain, tetapi hanya ingin membetulkan tuduhan Zamri melalui fakta.
“Apabila ada tuduhan daripada Zamri mengenai ‘vel-vel’ dan pengambilan kavadi dalam keadaan mabuk dan minum todi, saya sebagai warganegara yang beragama Hindu ingin membetulkannya melalui debat.
“Ini tiada kaitan dengan agama lain, hanya membabitkan saya dan Zamri di mana saya ingin mendidik beliau. Mungkin dia datang dari latar belakang yang membabitkan ajaran sesat, maka saya bertanggungjawab membetulkannya melalui debat dan tidak menyentuh agama lain,” katanya. — The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login