Antarabangsa
Enggan nyanyi lagu puji pemimpin, gadis remaja Iran dipukul hingga maut
Seorang gadis remaja meninggal dunia di barat laut Iran minggu lalu akibat dipukul pasukan keselamatan dalam satu serbuan di sekolahnya, dakwa kesatuan guru Ardabil.
- Mangsa, Asra Panahi, 15, didakwa meninggal dunia akibat diserang pasukan keselamatan di sekolahnya minggu lalu.
- Kesatuan guru Ardabil mendakwa mangsa bersama pelajar Sekolah Menengah Shahed di Ardabil, barat laut Iran, dipaksa menyanyikan lagu memuji pemimpin tertinggi negara dalam satu acara di sekolah terbabit.
- Keengganan pelajar berbuat demikian dan melaungkan kata-kata menentang kerajaan didakwa mendorong pasukan keselamatan memukul mereka.
- Asra merupakan antara tujuh pelajar dilaporkan cedera, dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia kemudiannya.
- Pihak berkuasa tempatan menafikan dakwaan itu, media tempatan pula melaporkan Asra meninggal akibat masalah jantung.
Seorang gadis remaja meninggal dunia di barat laut Iran minggu lalu akibat dipukul pasukan keselamatan dalam satu serbuan di sekolahnya, dakwa kesatuan guru Ardabil.
Mangsa, Asra Panahi, 15, adalah salah seorang daripada beberapa pelajar yang cedera dalam insiden di Ardabil, kata kesatuan guru itu dalam kenyataan yang dipetik BBC.
Kenyataan kesatuan guru itu mendakwa serangan berlaku gara-gara pelajar enggan menyanyikan lagu yang memuji pemimpin tertinggi Iran.
Pasukan keselamatan berkenaan memaksa pelajar perempuan di Sekolah Menengah Shahed di Ardabil untuk menyertai acara pro-kerajaan pada Rabu, yang seterusnya memaksa mereka menyanyikan lagu yang memuji pemimpin tertinggi kerajaan itu.
Bagaimanapun, pelajar mula melaungkan kata-kata menentang kerajaan yang mendorong anggota keselamatan berpakaian biasa memukul mereka.
Selepas pelajar kembali ke kelas masing-masing, anggota keselamatan berkenaan kembali menyerbu sekolah itu dan memukul mereka lagi. Tujuh pelajar dilaporkan cedera, manakala 10 ditahan.
Asra Panahi antara pelajar cedera dalam insiden itu, dihantar ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia kemudiannya.
Pihak berkuasa tempatan menafikan dakwaan kesatuan guru itu, manakala media tempatan melaporkan Asra meninggal akibat masalah jantung.
Sejak berlakunya protes anti kerajaan di negara itu bulan lalu, sejumlah gadis remaja dilaporkan terkorban.
Kumpulan aktivis dan keluarga mangsa-mangsa mendakwa pasukan keselamatan bertanggungjawab di atas kematian itu yang dinafikan pihak berkuasa Iran.
Sumber: BBC