Terkini
Berita tidak harus dinilai ‘tidak benar’ kerana petik sumber – Geramm-NUJM
Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan National Union of Journalists Malaysia (NUJM) membantah sebarang usaha yang boleh mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber tidak dinamakan.
- Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan National Union of Journalists Malaysia (NUJM) membantah sebarang usaha yang boleh mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber tidak dinamakan.
- Sebarang berita tidak seharusnya dinilai sebagai “tidak benar” atau “tidak sah” hanya kerana memetik sumber dengan identiti dirahsiakan.
- Sebarang bentuk “kerjasama” dalam apa jua siasatan dijalankan pihak berkuasa juga tidak seharusnya melibatkan tuntutan untuk mendedahkan identiti sumber dirahsiakan.
- “Sebaliknya, keperluan untuk menghormati privasi dan kerahsiaan sumber digariskan sebagai salah satu dari lapan nilai Kod Etika Wartawan Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia mewakili kerajaan.
- “Keperluan yang sama turut menyumbang ke arah kemampuan wartawan dan organisasi media untuk menjalankan peranan sebagai “fourth estate” atau mewakili suara semua lapisan masyarakat,” kata Geramm dan NUJM dalam kenyataan bersama di sini pada Khamis.
- Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan menyiarkan laporan didakwa diperoleh daripada sumber mengenai wujudnya rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan beberapa pegawai kanan dijangka dipindahkan keluar daripada agensi itu.
KUALA LUMPUR — Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan National Union of Journalists Malaysia (NUJM) membantah sebarang usaha yang boleh mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber tidak dinamakan.
Geramm dan NUJM berkata sebarang berita tidak seharusnya dinilai sebagai “tidak benar” atau “tidak sah” hanya kerana memetik sumber dengan identiti dirahsiakan.
Mereka berkata sebarang bentuk “kerjasama” dalam apa jua siasatan dijalankan pihak berkuasa juga tidak seharusnya melibatkan tuntutan untuk mendedahkan identiti sumber dirahsiakan.
“Sebaliknya, keperluan untuk menghormati privasi dan kerahsiaan sumber digariskan sebagai salah satu dari lapan nilai Kod Etika Wartawan Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia mewakili kerajaan.
“Keperluan yang sama turut menyumbang ke arah kemampuan wartawan dan organisasi media untuk menjalankan peranan sebagai “fourth estate” atau mewakili suara semua lapisan masyarakat,” kata Geramm dan NUJM dalam kenyataan bersama di sini pada Khamis.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan menyiarkan laporan didakwa diperoleh daripada sumber mengenai wujudnya rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan beberapa pegawai kanan dijangka dipindahkan keluar daripada agensi itu
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Selasa bagaimanapun, menegaskan spekulasi rombakan tersebut, yang memetik sumber, sebagai “tidak benar” dan menasihatkan semua pihak supaya tidak memetik sebarang sumber tidak rasmi, terutama membabitkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.
“Kita ingin menegaskan bahawa PDRM tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara dimaksudkan.
“PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita tersebut,” katanya dipetik media tempatan pada Selasa.
Susulan itu juga polis memaklumkan membuka siasatan berhubung laporan portal dalam talian berkenaan yang menyiarkan berita dengan memetik sumber mengenai rombakan besar-besaran kepemimpinan tertinggi polis.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada hari berikutnya dilaporkan berkata beliau memahami keperluan pengamal media melindungi pemberi maklumat mereka, namun undang-undang negara masih terpakai.
Katanya, semua pihak, termasuk pengamal media diminta memberikan kerjasama kepada polis berhubung sebarang siasatan walaupun kerajaan menghormati hak untuk melindungi sumber berita mereka.
Geramm dan NUJM berkata tanpa jaminan perlindungan, wartawan akan kehilangan kepercayaan daripada sumber-sumber dengan maklumat yang perlu didedahkan
“Penilaian berkenaan kesahihan sumber dan maklumat yang didedahkan, selain keperluan untuk merahsiakan identiti, seharusnya ditentukan wartawan dan pengarang (editor), tanpa penglibatan pihak luar.
“Perlu diingatkan, hak wartawan di Malaysia untuk melindungi kerahsiaan sumber juga telah diakui sebagai duluan (precedent) mahkamah sejak 2013 dalam satu keputusan kes dakwaan pencemaran nama baik.
“Sekiranya terdapat pertikaian setelah penerbitan artikel atau berita, ia wajar diselesaikan melalui badan bebas Majlis Media Malaysia yang sedang di peringkat akhir penubuhan melalui Rang Undang-Undang yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober,” kata Geramm dan NUJM. — The Merdeka Times