Antarabangsa
(VIDEO) Ahli Parlimen Israel pertahan tindakan kayu dimasukkan dalam dubur tahanan Palestin
Tindakan Pasukan Pendudukan Israel (IOF) menahan lapan anggota simpanan pada Isnin mendorong perusuh, termasuk beberapa penggubal undang-undang Israel, menceroboh pangkalan tentera untuk menuntut pembebasan anggota tentera simpanan itu.
Tindakan Pasukan Pendudukan Israel (IOF) menahan lapan anggota simpanan pada Isnin mendorong perusuh, termasuk beberapa penggubal undang-undang Israel, menceroboh pangkalan tentera untuk menuntut pembebasan anggota tentera simpanan itu.
Penahanan lapan askar simpanan itu atas tujuan siasatan berkenaan dakwaan liwat terhadap seorang tawanan Palestin, lapor RT.
Seorang Ahli Parlimen Israel dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa tiada batasan terpakai apabila berurusan dengan Hamas.
Pada asalnya, sepuluh anggota simpanan disiasat sebelum dua darinya dibebaskan pada Rabu, manakala lapan diarahkan kekal dalam tahanan sehingga Ahad.
Menurut IOF, mereka dituduh melakukan tindakan liwat yang teruk, menyebabkan kecederaan tubuh badan, penderaan dan berkelakuan tidak bersesuaian dengan tentera.
Penahanan anggota pasukan simpanan itu pada Isnin disuarakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Knesset apabila seorang Ahli Parlimen Parti Likud (parti pemerintah), Hanoch Milwidsky cuba bertindak melangkah keluar parlimen sebagai tanda protes menyebelahi salah laku askar simpanan terbabit.
“Untuk memasukkan kayu ke dalam dubur seseorang, adakah (kelakuan) itu sah di sisi undang-undang?” tanya Ahli Parlimen Israel-Arab, Ahmad Tibi.
“Ya!, Jika dia seorang Nukhba, semuanya sah untuk dilakukan! Semuanya!,” tengking Milwidsky kepada Ahmad Tibi.
Nukhba merupakan unit khas Briged al-Qassam, cabang bersenjata Hamas. Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan maut pada 7 Oktober tahun lalu.
Ketika beberapa penggubal undang-undang bertukar kata-kata panas, ada yang menyertai kumpulan nasionalis menyerbu pangkalan tentera dan penjara Sde Teiman, berhampiran Beersheba, lokasi di mana sepuluh suspek itu ditahan.
Sde Teiman berfungsi sebagai kem tahanan untuk rakyat Palestin yang ditawan dari Gaza.
Apabila polis tentera cuba mengubah lokasi suspek dengan menempatkannya di Beit Lid, sebuah pangkalan berhampiran Netanya, perusuh turut bertindak mengikut pihak terbabit.
Rusuhan itu memaksa IOF menempatkan tiga batalion “untuk menjaga pangkalan Beit Lid bukan daripada musuh tetapi daripada kemarahan warga Israel,” kata Jerusalem Post dalam artikel editorial pada Rabu selain menyatakan pasukan itu mempunyai “perkara lebih mendesak untuk dilakukan di Gaza, di Yudea dan Samaria, dan di sepanjang sempadan utara melawan musuh sebenar”.
Israel berkata rakyat Palestin yang ditawan diperlakukan mengikut undang-undang antarabangsa.
Namun agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mengenai laporan berlakunya penyiksaan.
Dakwaan berlakunya penderaan teruk di Sde Teiman – termasuk rogol liwat banduan – pertama kali muncul dalam laporan CNN pada Mei lalu. – The Merdeka Times