Terkini
(VIDEO) Bantah penjualan saham MAHB kepada BlackRock, Aktivis teruskan mogok lapar lebih 80 jam
Mogok lapar seorang aktivis pro-Palestin yang berlangsung lebih 80 jam setakat semalam akan diteruskan hingga Rabu ini bagi mendesak kerajaan menimbang semula keputusannya menjual saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat milik BlackRock.
KUALA LUMPUR – Mogok lapar seorang aktivis pro-Palestin yang berlangsung lebih 80 jam setakat semalam akan diteruskan hingga Rabu ini bagi mendesak kerajaan menimbang semula keputusannya menjual saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat milik BlackRock.
M Mythreyar yang berasal dari Tanjung Malim, Perak, berkata tindakannya dilakukan atas dua sebab iaitu solidaritinya terhadap kekejaman di Palestin dan demi kedaulatan negara.
“Hari ini dah sampai hari keempat, saya mula hari Rabu pukul 9 pagi, hari ni dah mungkin lebih 80 jam, so saya akan tahan disebabkan untuk rakyat di Palestin, saya akan bertahan sehingga hari Isnin.
“Kalau Isnin pun masih tak boleh, saya akan cuba tahan sampai hari Rabu, saya cuba yang terbaik, ia dua sebab, satu untuk rakyat di Palestin, satu untuk kedaulatan negara,” katanya kepada The Merdeka Times ketika ditemui di acara Solidariti Tolak BlackRock di Dataran Merdeka di sini semalam.
Ditanya berapa ramai Ahli Parlimen yang memberi perhatian terhadap tindakannya, beliau berkata setakat ini baru seorang sahaja yang tampil menyatakan sokongan.
“Ada seorang MP (Ahli Parlimen) dari Tangga Batu dia ada datang, dua hari lepas dia datang, dia beri sokongan moral kepada saya, selain itu cuma rakyat biasa, YB Tian (Chua), ada ramai rakyat biasa saja yang bersama saya.
“Mereka dari pagi sampai malam mereka bersama saya, ada orang tidur bersama saya, menjaga keselamatan saya, cuma ini saja yang sedang berlaku. Sehingga sekarang seorang saja datang,” kata Mythreyar.
Mengakui mula merasa sakit, beliau bagaimanapun nekad bertahan kerana mendapati tindakannya itu kini mendapat perhatian anak-anak Gaza.
“Saya terharu dengan mesej mereka, itulah yang membolehkan saya bertahan, sebab itu saya akan bertahan.
“Mereka minta saya stop esok, sebab perut saya dah mula cramp sikit, tapi untuk Gaza, saya akan cuba bertahan,” katanya.
Mythreyar menjelaskan tindakannya bukan atas dasar menentang atau menuntut, tetapi rayuannya itu supaya keputusan baik yang tidak menggugat kedaulatan negara dapat diambil Kerajaan Malaysia.
“Saya tak menentang sesiapa, saya cuma merayu saja, saya tak tuntut pun, saya merayu kepada kerajaan, agar timbang semula isu perjanjian BlackRock itu, tolong bincang semula, sila ambil satu keputusan yang baik, untuk masa depan negara kita.
“Ini boleh menggugat kedaulatan negara kita, sebab itu saya turun, saya mohon kepada kerajaan tolonglah fikir sekali lagi untuk (tidak) berurusan dengan BlackRock,” katanya di sini malam semalam. – The Merdeka Times
View this post on Instagram