Terkini
Bernas kekal pengimport tunggal beras
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Fong Hin berkata, kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk mengubah polisi mengenai pengimportan beras dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih merupakan pengimport tunggal.
- Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Fong Hin berkata, kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk mengubah polisi mengenai pengimportan beras dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih merupakan pengimport tunggal.
- Beliau berkata, tidak mudah untuk menamatkan monopoli Bernas kerana kontraknya baru sahaja diperbaharui oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Januari 2021 dan hanya akan tamat tempoh pada 2031.
- “Jika membuka pengimportan beras, maka kami mungkin akan melanggar kontrak,” katanya ketika menerima wawancara Sinchew Daily.
PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Fong Hin berkata, kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk mengubah polisi mengenai pengimportan beras dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih merupakan pengimport tunggal.
Beliau berkata, tidak mudah untuk menamatkan monopoli Bernas kerana kontraknya baru sahaja diperbaharui oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Januari 2021 dan hanya akan tamat tempoh pada 2031.
“Jika membuka pengimportan beras, maka kami mungkin akan melanggar kontrak,” katanya ketika menerima wawancara Sinchew Daily.
Beliau berkata, DAP dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menentang monopoli, tetapi penamatan monopoli Bernas tidak mudah.
“Apabila pentadbiran Muhyiddin menandatangani kontrak dengan Bernas, program tanggungjawab sosial syarikat itu telah ditambah daripada lima kepada 10.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas membentuk kerajaan menambah dua lagi program walaupun ini tidak ditulis dalam kontrak.
“Kerajaan mahu memberi pulangan lebih banyak kepada petani dan juga menambah syarat 30 peratus hasil keuntungan melalui beras import disalurkan kepada kerajaan,” katanya.
Menurut Fong Hin, terdapat satu jawatankuasa dalam kementeriannya yang menilai prestasi Bernas dan kontrak hanya boleh ditamatkan jika mereka gagal mencapai prestasi yang ditetapkan.
“Sekarang Bernas mempunyai prestasi yang sederhana. Bernas bukannya berprestasi teruk, walaupun ada bahagian tertentu yang kurang memuaskan.
“Justeru adalah tidak munasabah untuk menamatkan kontrak dengan Bernas pada masa ini,” katanya.
Menurutnya lagi, negara lain juga membenarkan monopoli atau mengawal import.
“Pemberian lesen tunggal kadangkala bukan punca masalah, tetapi ia mungkin mengundang kecurigaan nepotisme jika satu urusan kerajaan ditukarkan sepenuhnya kepada swasta.
“Bernas hanya wujud pada 1994 selepas Lembaga Padi dan Beras Negara ditukarkan kepada syarikat. Penswastaan pada 1994 menyebabkan orang mengaitkan Bernas dengan nepotisme,” katanya.
Sumber: MalaysiaGazette