Terkini
Dikhuatiri berat sebelah, punca Najib mohon Ketua Hakim Negara tarik diri
Datuk Seri Najib Tun Razak membuat permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.
- Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dimohon menarik diri daripada mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini.
- Permohonan dibuat demi melindungi kebebasan badan kehakiman, lebih-lebih lagi menjaga reputasinya terhadap pandangan awam.
- Pada 17 Ogos lalu, beliau menyedari terdapat satu hantaran di laman sosial Facebook telah diterbitkan oleh Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018 yang dipercayai suami kepada Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
- “Saya sesungguhnya percaya perkembangan baharu ini sungguh membimbangkan dalam mengambil kira fakta bahawa Zamani jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepemimpinan saya terhadap negara ini sebagai seorang perdana menteri dan menyimpulkan bahawa saya menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun akaun peribadi saya.
- “Oleh kerana beliau suami pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan saya, adalah berkemungkinan beliau akan mempengaruhi pemikiran pengerusi terhadap tuduhan ke atas kebersalahan saya.
- “Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen suaminya terhadap saya,” – Datuk Seri Najib Tun Razak.
PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak membuat permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.
Peguam, Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama bekas Perdana Menteri itu, berkata demikian ketika prosiding rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda dikenakan terhadap Najib berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
“Ia dibuat dengan penuh rasa hormat berdasarkan isu perundangan. Arahan yang kami terima adalah untuk memfailkan permohonan ini,” kata Hisyam.
Menerusi afidavit sokongan yang difailkan pada Isnin, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, permohonan bukanlah dibuat untuk mengaibkan Mahkamah (terutama Tengku Maimum) dan prosiding-prosiding yang sedang berlangsung.
Sebaliknya beliau berkata, permohonan dibuat demi melindungi kebebasan badan kehakiman, lebih-lebih lagi menjaga reputasinya terhadap pandangan awam.
Katanya, pada 17 Ogos lalu, dia menyedari terdapat satu hantaran di laman sosial Facebook yang telah diterbitkan oleh seorang individu bernama Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018.
“Saya percaya Zamani merupakan suami kepada Tengku Maimun yang merupakan pengerusi panel hakim yang sedang mendengar rayuan akhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
“Saya sesungguhnya percaya perkembangan baharu ini sungguh membimbangkan dalam mengambil kira fakta bahawa Zamani jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepemimpinan saya terhadap negara ini sebagai seorang perdana menteri dan menyimpulkan bahawa saya menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun akaun peribadi saya.
“Oleh kerana beliau suami pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan saya, adalah berkemungkinan beliau akan mempengaruhi pemikiran pengerusi terhadap tuduhan ke atas kebersalahan saya.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen suaminya terhadap saya,” katanya.