Kolumnis
Oppenheimer ‘bapa bom atom’ menyesal ketuai Projek Manhattan?
J. Robert Oppenheimer yang digelar sebagai ‘bapa bom atom’ kini menjadi topik perbualan ramai seiring tayangan filem terbaharu karya pengarah prolifik Christopher Nolan, Oppenheimer di pawagam mulai minggu ini.
J. Robert Oppenheimer yang digelar sebagai ‘bapa bom atom’ kini menjadi topik perbualan ramai seiring tayangan filem terbaharu karya pengarah prolifik Christopher Nolan, Oppenheimer di pawagam mulai minggu ini.
Ahli fizik terkenal itu menjadi pengarah makmal Los Alamos yang melaksanakan Projek Manhattan di New Mexico untuk mencipta bom atom pertama sekitar 1942 hingga 1945 semasa Perang Dunia Kedua.
Beliau mengetuai lebih 3,000 orang, termasuk saintis dan pekerja teknikal dalam Projek Manhattan untuk menyelesaikan hal berkaitan teori, proses dan mekanikal dalam projek itu.
Menurut laporan National Geographic, pada 16 Julai 1945, Oppenheimer dan yang lain berkumpul di tapak ujian Trinity di selatan Los Alamos untuk percubaan letupan nuklear pertama di dunia.
Dijalankan secara rahsia, ujian bom berkuasa nuklear itu berjaya sebagaimana diceritakan Oppenheimer dalam temu bual pada 1965, yang memetik satu baris syair Hindu, Bhagavad Gita: “Vishnu cuba memujuk putera raja untuk melaksanakan tugasnya dengan berubah wujud menjadi banyak tangan dan berkata, ‘Sekarang saya menjadi kematian, pemusnah dunia’. Saya (Oppenheimer) rasa kita semua berfikir sebegitu.”
Selepas berjaya menguji bom pemusnah itu, dalam masa sebulan kemudiannya, dua bandar raya di Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki, menjadi sasaran bom atom yang dikenali sebagai Little Boy dan Fat Man.
Pengeboman itu menyaksikan terlakarnya tragedi dahsyat di mana dua kota terpenting di Jepun lumpuh sepenuhnya dan mengorbankan ratusan ribu nyawa penduduk disebabkan kecederaan dan radiasi mendorong Jepun menyerah kalah, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.
Walaupun teruja dengan kejayaan itu, para saintis berasa ngeri dengan kehilangan nyawa orang awam dalam serangan itu.
Mereka bimbang sekiranya senjata pemusnah itu akan menggalakkan peperangan pada masa depan dan bukannya menghalang sesuatu yang jelas menyebabkan pertumpahan darah.
Laporan National Geographic ‘Who Is Oppenheimer? The Controversial Man Behind The Atomic Bomb’ menyatakan beberapa minggu selepas insiden pengeboman itu, Oppenheimer menulis surat kepada Setiausaha Perang.
“Keselamatan negara ini…tidak boleh bergantung sepenuhnya pada kehebatan saintifik atau teknikalnya. It can be based only on making future wars impossible,” kata Oppenheimer dalam surat itu.
Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan Projek Manhattan dan bom yang ditugaskan ke atasnya untuk dibina dengan alasan ia perlu untuk memahami sepenuhnya risiko sains nuklear.
Selepas tamatnya Perang Dunia-II, Oppenheimer dilantik menjadi Pengarah Institute for Advanced Study di Princeton University pada 1947 dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Umum dalam Suruhanjaya Tenaga Atom, atau AEC, dari 1947 hingga 1952.
Sejak dilantik ke badan itu, beliau mula menentang sebarang pembangunan bom dan senjata berkuasa nuklear, mula membenci kekejaman perang yang mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa seperti berlaku di Hiroshima dan Nagasaki.
Di atas kejayaannya sepanjang bergelar saintis dan penglibatannya dalam Projek Manhattan, Oppenheimer dianugerahi The Enrico Fermi Award daripada Pesuruhjaya Tenaga Atom.
Saintis ternama itu meninggal dunia kerana menghidapi barah tekak pada 1967. — The Merdeka Times
Sumber: Laman Web National Geographic, Majalah Sains