Antarabangsa
Israel cuba bunuh aktivis Palestin dalam penjara melalui kecuaian perubatan – Isteri Walid Daqqa
Keluarga dan penyokong aktivis dan novelis Palestin yang sedang ditahan, Walid Daqqa risau akan kesihatannya semakin terjejas di penjara Israel.
- Keluarga dan penyokong aktivis dan novelis Palestin yang sedang ditahan, Walid Daqqa risau akan kesihatannya semakin terjejas di penjara Israel.
- Tahun lalu beliau dikesan menghidapi kanser, namun pihak berkuasa Israel menolak dari membebaskannya.
- Dia yang sepatutnya dilepaskan pada Februari lalu setelah tamat tempoh tahanan, menerima lanjutan hukuman selama dua tahun lagi atas tuduhan penyeludupan telefon bimbit.
- Warga Palestin itu disahkan menghidap barah sumsum tulang pada Disember 2022 dan diisytihar memerlukan pembedahan segera, tetapi belum menjalani sebarang pembedahan.
- Pemenjaraan Daqqa juga melanggar Perjanjian Oslo 1993 yang mempunyai klausa untuk membebaskan semua tahanan Palestin yang ditahan sebelum pemeteraian perjanjian itu.
- “Israel cuba membunuh Walid melalui kecuaian perubatan,” kata isteri Daqqa, Salameh.
Ramallah, Tebing Barat – Keluarga dan penyokong aktivis dan novelis Palestin yang sedang ditahan, Walid Daqqa risau akan kesihatannya semakin terjejas di penjara Israel.
Tahun lalu beliau dikesan menghidapi kanser, namun pihak berkuasa Israel menolak dari membebaskannya.
Walaupun menderita, aktivis berumur 61 tahun itu tetap mencabar pihak penjara Israel.
“Secara umumnya, anak lelaki atau anak perempuanku ini, yang akan aku namakan Milad, akan menggubah lagu yang tak pernah digubah. Dia akan menjadi ahli astronomi atau menemukan penawar bagi kanser. Mungkin dia akan mencapai sesuatu yang gagal dicapai generasi kita iaitu mencari solusi kepada konflik agar wujudnya keamanan dan keselamatan sebenar, berbanding bayangan keselamatan kamu,” Daqqa dipetik AlJazeera sebagai berkata ketika perbicaraannya selepas menyeludup keluar spermanya dari penjara untuk digunakan ke atas isterinya Sana Salameh.
Salameh melahirkan anak perempuan mereka, Milad pada 2020.
Sebagai bapa kepada Milad, Daqqa berjaya mencabar pihak berkuasa penjara, yang menghalangnya bertemu isteri walaupun undang-undang Israel membenarkan untuk melahirkan zuriat di penjara.
Dia yang sepatutnya dibebaskan pada Februari lalu setelah tamat tempoh tahanan, menerima lanjutan hukuman selama dua tahun lagi atas tuduhan penyeludupan telefon bimbit.
Israel menjadikan Daqqa sebagai contoh (kerana menentang mereka) dengan menghalangnya dari menerima rawatan sewajarnya dan menghalang pembebasan awal meskipun kesihatannya semakin merosot.
Dia disahkan menghidap barah sumsum tulang pada Disember 2022 dan diisytiharkan memerlukan pembedahan segera, tetapi belum menjalani sebarang pembedahan.
Pada 22 Mei lalu, Daqqa dipindahkan ke unit rawatan rapi di hospital Assaf Harofeh di selatan Tel Aviv atas komplikasi kesihatan.
Tetapi tiga hari kemudian, pihak berkuasa Israel memindahkannya semula ke klinik penjara Ramleh di Israel, yang terkenal dengan keadaannya (sebagai sebuah klinik) yang sukar, walaupun terdapat gesaan dari kumpulan hak asasi manusia supaya dia dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan berterusan, jika dia tidak dibebaskan.
Pemenjaraan Daqqa melanggar Perjanjian Oslo 1993 yang mempunyai klausa untuk membebaskan semua tahanan Palestin yang ditahan sebelum pemeteraian perjanjian itu.
Salameh, 52, meluahkan kebimbangannya ekoran kepulangan awal Daqqa ke klinik Penjara Ramleh dan berkata, “Israel cuba membunuh Walid melalui kecuaian perubatan”.
Sumber: Al Jazeera