Antarabangsa
Portugal menguatkuasakan larangan merokok
Portugal merancang menguatkuasakan larangan merokok berhampiran sekolah dan hospital serta di kawasan tempat duduk luar berbumbung, kata Menteri Kesihatan Manuel Pizarro.
- Portugal merancang menguatkuasakan larangan merokok berhampiran sekolah dan hospital serta di kawasan tempat duduk luar berbumbung, kata Menteri Kesihatan Manuel Pizarro.
- “Dengan pindaan ini, kita akan melindungi generasi dewasa masa depan,” katanya pada sidang media, sambil menafikan dakwaan sektor perniagaan bahawa tindakan itu terlalu keras dan bersifat menindas.
- Jika diluluskan Parlimen, merokok berdekatan bangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, pusat sukan, di luar restoran, bar dan kedai kopi akan dilarang bermula 23 Oktober ini.
- Hanya restoran, bar dan kelab malam yang mempunyai ruang merokok khusus yang terasing secukupnya dibenarkan terus beroperasi sehingga 2030.
- Undang-undang itu, yang akan dibincangkan di Parlimen pada tarikh yang belum ditentukan turut melarang tabiat itu di semua ruang dalaman seperti kawasan merokok di dalam kafe.
LISBON: Portugal merancang menguatkuasakan larangan merokok berhampiran sekolah dan hospital serta di kawasan tempat duduk luar berbumbung, kata Menteri Kesihatan Manuel Pizarro.
“Dengan pindaan ini, kita akan melindungi generasi dewasa masa depan,” katanya pada sidang media, sambil menafikan dakwaan sektor perniagaan bahawa tindakan itu terlalu keras dan bersifat menindas.
Jika diluluskan Parlimen, merokok berdekatan bangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, pusat sukan, di luar restoran, bar dan kedai kopi akan dilarang bermula 23 Oktober ini.
Hanya restoran, bar dan kelab malam yang mempunyai ruang merokok khusus yang terasing secukupnya dibenarkan terus beroperasi sehingga 2030.
Undang-undang itu, yang akan dibincangkan di Parlimen pada tarikh yang belum ditentukan turut melarang tabiat itu di semua ruang dalaman seperti kawasan merokok di dalam kafe.
Selain itu, ia juga melarang pemasangan kawasan baharu seumpamanya dan menghentikan penjualan produk tembakau di lokasi larangan merokok mulai 2025.
Jun lalu, Suruhanjaya Eropah berkata ia berhasrat mengurangkan penggunaan tembakau di blok 27 negara itu kepada kurang daripada lima peratus penduduk menjelang 2040.
Merokok pertama kali diharamkan di ruang tertutup awam di Portugal lebih sedekad lalu.
“Dengan undang-undang ini, kami berharap golongan muda dapat hidup dalam persekitaran tanpa tembakau, mengurangkan insentif untuk merokok dan membolehkan perokok mengatasi ketagihan mereka,” kata Pizarro selepas mesyuarat Majlis Menteri.
“Objektif kami adalah untuk mempunyai generasi yang hidup tanpa tembakau menjelang 2040. Undang-undang ini selaras dengan pendirian anti tembakau Kesatuan Eropah (EU), tetapi kami ingin pergi lebih jauh,” katanya.
Menurut statistik kerajaan, kira-kira dua pertiga kematian dalam kalangan perokok adalah kerana penggunaan tembakau dan secara purata, perokok mati 10 tahun lebih cepat berbanding bukan perokok.
Dianggarkan, pada 2019, sekitar 13,500 kematian di Portugal yang mempunyai sekitar 10 juta penduduk, adalah kerana penggunaan tembakau.
Dalam perkembangan lain, Portugal juga dijangka meluluskan rang undang-undang (RUU) membenarkan euthanasia atau proses mematikan orang yang menderita penyakit membawa maut yang tidak dapat diubati.
Isu kontroversi itu memecah belahkan negara dengan majoriti penduduk beragama Katolik itu dan mendapat tentangan daripada Presidennya, Marcelo Rebelo de Sousa.
Di bawah peruntukan dalam RUU yang dipinda, pesakit berumur lebih 18 tahun dibenarkan meminta bantuan perubatan untuk dimatikan jika mereka sakit tenat dan tidak dapat menanggung penderitaan.
Kebenaran hanya diberi kepada mereka yang mengalami kesakitan ‘berkekalan’ dan ‘tidak dapat bertahan’, melainkan mereka dianggap tidak sihat dari segi mental untuk membuat keputusan itu.
Undang-undang itu juga hanya terpakai kepada warganegara dan pemastautin sah, tanpa diperluaskan merangkumi warga asing .
RUU terdahulu diluluskan di Parlimen empat kali dalam tempoh tiga tahun lalu tetapi dihantar semula untuk semakan perlembagaan kerana ditolak oleh de Sousa.
Parti Sosialis yang memerintah berikrar untuk memastikan usaha mereka berhasil, termasuk mengadakan dua pengundian jika perlu.
“Akhirnya kita sampai ke penghujung perjuangan yang panjang,” kata ahli Parlimen Sosialis, Isabel Moreira kepada AFP.
Selepas pengundian kali ini, presiden mempunyai tempoh lapan hari untuk mengisytiharkannya menjadi undang-undang.
Euthanasia dan amalan membantu kematian hanya dibenarkan di beberapa negara termasuk Sepanyol dan kumpulan negara Benelux merangkumi Belgium, Belanda dan Luxembourg. – AGENSI
Sumber: Berita Harian