Ekonomi
Henti eksport minyak masak dalam bentuk polibeg – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi
Menurut Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, sebarang pengeksportan minyak masak dalam bentuk polibeg dihentikan berkuat kuasa serta merta.
- Bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dengan minyak masak bersubsidi yang turut dijual dalam bentuk yang sama.
- KPDNHEP akan berunding dengan pihak-pihak berkaitan bagi mengeluarkan lesen eksport minyak masak dalam bentuk polibeg.
- Pengilang dan peniaga diminta untuk menurunkan harga minyak masak di dalam botol selaras dengan penurunan harga minyak masak mentah.
- “Kerajaan tidak boleh membiarkan industri berjalan dalam situasi yang tidak dikawal selia dengan baik” – Annuar Musa
Menurut Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, sebarang pengeksportan minyak masak dalam bentuk polibeg dihentikan berkuat kuasa serta merta.
Jelas beliau, langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dengan minyak masak bersubsidi yang turut dijual dalam bentuk polibeg.
“Apabila ada pengeksport yang mengeksport minyak masak dalam bentuk yang hampir serupa, ia menimbulkan masalah kepada penguat kuasa.
“Maka, tidak akan dibenarkan lagi sebarang eksport minyak masak dalam bentuk polibeg. Ia mesti dieksport dalam bentuk lain,” kata Annuar.
Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berunding dengan pihak-pihak berkaitan, terutamanya yang mengeluarkan lesen eksport minyak masak dalam bentuk polibeg.
Annuar akan menetapkan harga tersebut berdasarkan pelarasan bagi mengekalkan margin keuntungan tertentu dalam masa yang sama memastikan tidak berlaku pengambilan untung berlebihan.
Sebelum ini, harga minyak masak botol dijangka akan turun dalam masa terdekat, selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan kepada RM3,600 per tan minggu ini.
Oleh itu, pengilang dan peniaga diminta untuk menurunkan harga minyak masak di dalam botol selaras dengan penurunan tersebut.
Jelas Annuar, tinjauan ke dalam pasaran mendapati penurunan harga minyak masak tersebut agak perlahan.
Tambah beliau, “Kita dapati sebelum ini sewaktu minyak sawit naik peniaga telah naikkan harga mereka, apabila minyak masak turun, kita dapati penurunan harga agak perlahan, boleh saya katakan agak ‘liat’ untuk segerakan proses penurunan harga, walaupun mereka memberikan alasan masih menjual stok lama, tetapi kita rasakan alasan ini tidak adil,”.
Justeru katanya kerajaan tidak boleh membiarkan industri berjalan dalam situasi yang tidak dikawal selia dengan baik, terutama setelah dua minggu ruang diberikan untuk pihak terbabit bagi menurunkan harga.
“Ia memerlukan tanggungjawab dan kebersamaan. Soal kenaikan harga barang terutama yang membabitkan keperluan orang ramai jangan dipandang ringan, minyak masak sangat diperlukan seperti juga ayam, telur, beras dan sebagainya, oleh itu sebarang kenaikan harga tak boleh secara mengenakan margin keuntungan yang tinggi,” jelas Annuar seperti yang dilaporkan oleh Bernama pada Isnin lalu.
Sumber: Bernama