Antarabangsa
Hampir mustahil bantuan kemanusiaan disalur di Khartoum – IFRC
Konflik berdarah yang sedang melanda Sudan menyebabkan hampir mustahil untuk bantuan kemanusiaan disediakan di Khartoum, menurut Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) serta Persatuan Bulan Sabit Merah yang turut memberi amaran bahawa sistem kesihatan di negara itu kini berisiko runtuh.
- Konflik berdarah melanda Sudan menyebabkan hampir mustahil bantuan kemanusiaan disediakan di Khartoum, menurut Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) serta Persatuan Bulan Sabit Merah turut memberi amaran bahawa sistem kesihatan di negara itu kini berisiko runtuh.
- “Hakikat ketika ini ialah hampir mustahil untuk menyediakan sebarang perkhidmatan kemanusiaan di dalam dan sekitar Khartoum.
- “Terdapat permintaan daripada pelbagai organisasi dan golongan yang terperangkap, untuk mendapatkan bantuan pindah keluar,” – Ketua Delegasi IFRC ke Sudan, Farid Aiywar.
- Beliau menegaskan sekiranya gangguan terhadap sistem kesihatan Sudan berterusan, ia akan hampir runtuh.
GENEVA: Konflik berdarah yang sedang melanda Sudan menyebabkan hampir mustahil untuk bantuan kemanusiaan disediakan di Khartoum, menurut Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) serta Persatuan Bulan Sabit Merah yang turut memberi amaran bahawa sistem kesihatan di negara itu kini berisiko runtuh.
“Hakikat ketika ini ialah hampir mustahil untuk menyediakan sebarang perkhidmatan kemanusiaan di dalam dan sekitar Khartoum.
“Terdapat permintaan daripada pelbagai organisasi dan golongan yang terperangkap, untuk mendapatkan bantuan pindah keluar,” kata Ketua Delegasi IFRC ke Sudan, Farid Aiywar, kepada pemberita melalui pautan video dari Nairobi, semalam.
Aiywar menegaskan sekiranya gangguan terhadap sistem kesihatan Sudan berterusan, ia akan hampir runtuh.
Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah meragut sekurang-kurang 185 nyawa dan lebih 1,800 lagi cedera, menyebabkan masyarakat antarabangsa mendesak supaya ia dihentikan segera.
Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, dalam satu kenyataan menekankan bahawa semua pihak mesti bertindak untuk meredakan ketegangan itu.
Sementara itu jurucakap PBB, Alessandra Vellucci, enggan mengulas berhubung soal pemindahan kakitangan keluar dari negara itu, atas sebab keselamatan.
Namun, beliau berkata, PBB berhasrat untuk terus berada di Sudan dan melaksanakan mandat kemanusiaan.
PBB mempunyai kira-kira 4,000 kakitangan di Sudan. Operasi Program Makanan Sedunia PBB dihentikan sementara selepas tiga pekerjanya terkorban.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, tiga serangan berlaku ke atas kemudahan penjagaan kesihatan sejak pertempuran meletus di Sudan, termasuk satu yang mengorbankan sekurang-kurang tiga mangsa.
“Serangan terhadap penjagaan kesihatan adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan secara terang-terangan, dan ia mesti dihentikan sekarang,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris.
Harris berkata, hospital di Khartoum amat kekurangan bekalan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, malah keadaan diburukkan lagi dengan masalah bekalan elektrik terputus.
“Amat berbahaya untuk sesiapa bergerak ke mana-mana, sekali gus menyebabkan petugas sukar pergi ke hospital,” katanya.
Sumber: Berita Harian