Terkini
Halalkan vape, Menteri Kesihatan perlu letak jawatan – WAFIQ
Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mendesak Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa meletak jawatan susulan pindaan Akta Racun 1952 untuk membenarkan pengesahan produk bercampur nikotin diluluskan, sekali gus mengetepikan keputusan Lembaga Racun sebelum ini.
- Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mendesak Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa meletak jawatan susulan pindaan Akta Racun 1952 untuk membenarkan pengesahan produk bercampur nikotin diluluskan – mengetepikan keputusan Lembaga Racun sebelum ini.
- Presidennya, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar, yang meluahkan kekecewaan dengan perkara terbabit, mengatakan keputusan buruk itu telah merosakkan kepercayaan rakyat.
- Situasi itu juga menyebabkan ramai pihak meragui sama ada Dr Zaliha mampu merealisasikan RUU Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame, GEG) atau sebaliknya, selepas beliau dilihat seolah-olah mengutamakan kehendak industri vape dan tembakau.
- Menteri Kesihatan juga diingatkan untuk memberi komitmen membentangkan RUU GEG terlebih dahulu sebelum ‘membunuh kerjaya’ beliau dengan meneruskan keputusan yang memudahkan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023 itu (merujuk kepada cecair atau gel e-rokok nikotin dikenakan duti eksais 40 sen setiap mililiter).
KUALA LUMPUR — Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mendesak Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa meletak jawatan susulan pindaan Akta Racun 1952 untuk membenarkan pengesahan produk bercampur nikotin diluluskan, sekali gus mengetepikan keputusan Lembaga Racun sebelum ini.
Presidennya, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang meluahkan kekecewaan dengan perkara terbabit mengatakan, keputusan buruk itu telah merosakkan kepercayaan rakyat.
Situasi itu juga menyebabkan ramai pihak meragui sama ada Dr Zaliha mampu merealisasikan RUU Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame, GEG) atau sebaliknya, selepas beliau dilihat seolah-olah mengutamakan kehendak industri vape dan tembakau.
“Kami masih ingat dengan jelas pada 5 Disember 2022, ketika Dr Zaliha mengangkat sumpah sebagai menteri kesihatan wanita pertama Malaysia, beliau mengemukakan komitmen untuk menangani isu melibatkan wanita dan kanak-kanak di negara ini.
“Malangnya, dia kini paling diingati kerana membuat keputusan kesihatan awam yang paling teruk dalam sejarah kita yang akan menjejaskan berjuta-juta dan kanak-kanak dan belia, masa depan negara kita.
“Kami menyeru SPRM untuk segera menyiasat pengaruh tidak wajar industri e-rokok dan vape terhadap penggubal undang-undang kita,” katanya di Facebook pada Ahad.
Dr Rafidah turut mengingatkan Menteri Kesihatan untuk memberi komitmen membentangkan RUU GEG terlebih dahulu sebelum ‘membunuh kerjaya’ beliau dengan meneruskan keputusan yang memudahkan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023 itu (merujuk kepada cecair atau gel e-rokok nikotin dikenakan duti eksais 40 sen setiap mililiter).
Beliau menegaskan cubaan untuk mengumpulkan cukai melalui mewujudkan penagih nikotin dalam kalangan belia adalah keji dan tidak bermoral, di mana tiada kebaikan yang akan terhasil daripada tindakan sedemikian.
“The short game brings immediate gratification but at what cost? When will we ever have leaders with the wisdom and sincerity to think far ahead of the consequences of their actions?” katanya.
Bermula 1 April lalu, Kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).
Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan dikeluarkan pada Jumaat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Zaliha mengeluarkan warta menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin, kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.
Sementara itu, Dr Zaliha dilaporkan berkata akan membentangkan RUU baharu yang bakal mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.
Pihaknya menyasarkan RUU baharu itu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook WAFIQ