Terkini
Guru terpaksa mengajar secara ‘touch n go’ demi jayakan Ujian Akhir Sesi Akademik
Guru sekolah rendah mendakwa terpaksa mengajar secara ‘touch n go’ semata-mata untuk menjayakan urusan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dipusatkan.
- Penyelidik pendidikan, Dr Anuar Ahmad menyifatkan sekiranya dakwaan itu benar, ini menunjukkan murid-murid yang lemah pembelajaran telah dizalimi.
- Katanya, kebanyakan kajian pembangunan kognitif mengesahkan murid berusia enam hingga 12 tahun ada yang cepat proses perkembangan kognitif mereka begitu juga ada yang sebaliknya namun ia adalah perkara normal.
- “Bayangkan apa akan jadi pada murid-murid kita di tahun empat yang lambat dalam perkembangan kognitif ini tetapi diajarkan secara ‘touch n go’ semata-mata untuk menjayakan urusan Ujian Akhir Sesi Akademik UASA yang dipusatkan. Apa akan terjadi pada mereka apabila naik ke tahun 5, 6 dan seterusnya ke sekolah menengah?”
KUALA LUMPUR – Guru sekolah rendah mendakwa terpaksa mengajar secara ‘touch n go’ semata-mata untuk menjayakan urusan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dipusatkan.
Penyelidik pendidikan, Dr Anuar Ahmad menyifatkan sekiranya dakwaan itu benar, ini menunjukkan murid-murid yang lemah pembelajaran mereka telah dizalimi.
Ini berikutan, katanya kebanyakan kajian pembangunan kognitif mengesahkan murid berusia enam hingga 12 tahun ada yang cepat proses perkembangan kognitif mereka begitu juga ada yang sebaliknya namun ia adalah perkara normal.
Ujarnya, apabila murid-murid tersebut mencapai umur 14 tahun dan ke atas maka kognitif mereka kebiasaannya akan kembali setara.
“Sebab itu pendidikan rendah tidak perlu ada ranking ‘siapa lebih pandai’ atau peperiksaan berpusat. Tidak perlu bersaing sesama murid kerana semua murid-murid masih dalam proses perkembangan kognitif.
“Seperti juga bayi belajar berjalan. Ada yang cepat dan ada sedikit lambat. Tiada perlunya untuk perbandingan bayi mana pandai berjalan. Biasanya selepas 24 bulan, semua bayi yang normal akan boleh berjalan.
“Bayangkan apa akan jadi pada murid-murid kita di tahun empat yang lambat dalam perkembangan kognitif ini tetapi diajarkan secara ‘touch n go’ semata-mata untuk menjayakan urusan UASA yang dipusatkan.
“Apa akan terjadi pada mereka apabila naik ke tahun 5, 6 dan seterusnya ke sekolah menengah?” kata beliau dalam hantaran di Facebook pada Jumaat, ketika merespon luahan daripada guru menerusi ‘Luahan Rasa Guru’.
Beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya murid-murid yang masih lambat dalam proses perkembangan kognitif mereka, yang sepatutnya dibimbing dengan lebih rapat tetapi diajarkan secara ‘touch n go’ semata-mata kerana UASA.
Tambah beliau, tujuan pendidikan rendah itu sendiri adalah supaya semua murid-murid menguasai perkara asas dalam semua mata pelajaran di mana perkara tersebut juga merupakan satu prinsip asas pendidikan rendah.
Dr Anuar Ahmad membuat hantaran demikian ketika mengulas lanjut tentang Luahan Rasa Guru Siri 93.
“Salam Dr. Berkenaan UASA memang tidak selari dgn Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) yg disediakan.
“Pada sesi awal pembukaan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) MENGINGATKAN kami supaya topik mesti dihabiskan pada minggu terakhir persekolahan. Tidak boleh dihabiskan dengan lebih awal.
“Tiba-tiba muncul UASA. Maka apa yg berlaku anak-anak murid tahun 4 saya, mereka terpaksa belajar secara ‘touch n go’ demi nak cepat habiskan silibus sebelum UASA.
“Foundation yang sepatutnya dikukuhkan pada peringkat awal tak dapat dilakukan. Kesian bila lihat anak-anak ini terkebil-kebil nak memahamkan topik yang diajar,” tulis luahan guru itu yang tidak ingin dikenali identitinya.
Dalam pada itu, tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen, mendapati rata-rata para guru menyifatkan situasi ini sebagai satu hakikat yang menyedihkan dan terpaksa ditelan oleh pihak mereka, murid-murid serta ibu bapa untuk memenuhi permintaan pihak atas juga demi menjaga KPI golongan ‘kayangan’.
Antara tangkapan layar di ruangan komen Facebook :
Untuk rekod, UASA dilaksanakan bagi memperkasakan lagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dimulakan pada Sesi Akademik 2022/2023 di mana ia akan dinilai melalui kemahiran kognitif/intelektual dan penguasaan murid-murid dalam setiap mata pelajaran yang dilaksanakan menerusi ujian bertulis sepenuhnya.
Ujian tersebut, dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara Sumatif di akhir kalendar akademik bagi menguji tahap kognitif murid seterusnya mengumpul dan mendapatkan maklumat mengenai tahap pencapaian akademik murid atau kandungan yang dipelajari mereka sepanjang sesi akademik. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Anuar Ahmad