Terkini
Maestra Broadcast Sdn Bhd dikompaun RM250,000, Lesen Era FM tidak digantung

- Menurut kenyataan MCMC, kompaun berkenaan bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
- Keputusan tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd dibuat selepas menilai hujah rayuan syarikat itu.
- Ia juga mengambil kira tindakan yang telah diambil pemegang lesen, permohonan maaf dibuat pihak terbabit dan kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM di bawah lesen sama.
CYBERJAYA — Tiada penggantungan lesen terhadap Era FM, bagaimanapun syarikat pemegang lesen stesen radio itu, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikenakan kompaun RM250,000.
Menurut kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kompaun berkenaan bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, keputusan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd dibuat selepas menilai hujah rayuan syarikat itu.
Ia juga mengambil kira tindakan yang telah diambil pemegang lesen, permohonan maaf yang dibuat oleh pihak terbabit, dan kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM di bawah lesen yang sama.
Sebelum ini, penyampai slot 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin telah memohon maaf mengenai video kontroversi yang didakwa menghina Tarian Kavadi Hindu.
Video yang dimuat naik di TikTok itu, kemudiannya diturunkan selepas mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan.– The Merdeka Times
