Connect with us

Terkini

Jenayah bunuh: Terima hukuman dunia, tidak semestinya gugur dosa di akhirat – Mufti

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman
  • Dalam Islam, menerima hukuman di dunia tidak semestinya menggugurkan dosa seseorang di akhirat, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
  • Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor iaitu yang pertama jika hukuman di dunia menepati keadilan syariah, ada kemungkinan dosa itu dihapuskan dan faktor kedua ialah jika keluarga mangsa memaafkan, ia boleh menjadi sebab bagi Allah SWT mengampunkan pesalah.
  • Bagaimanapun bagi faktor ketiga, jika masih ada kezaliman yang tidak ditebus, pesalah mungkin akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
  • “Nabi SAW bersabda: “Hak-hak sesama manusia akan diselesaikan pada hari kiamat, sehingga kambing yang tidak bertanduk akan dibalas untuk (kezaliman) kambing bertanduk,” (HR Muslim),” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Sabtu.

KUALA LUMPUR — Dalam Islam, menerima hukuman di dunia tidak semestinya menggugurkan dosa seseorang di akhirat, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Menurut Mohd Sukki, ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor iaitu yang pertama jika hukuman di dunia menepati keadilan syariah, ada kemungkinan dosa itu dihapuskan dan faktor kedua ialah jika keluarga mangsa memaafkan, ia boleh menjadi sebab bagi Allah SWT mengampunkan pesalah.

Bagaimanapun bagi faktor ketiga, katanya jika masih ada kezaliman yang tidak ditebus, pesalah mungkin akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

“Nabi SAW bersabda: “Hak-hak sesama manusia akan diselesaikan pada hari kiamat, sehingga kambing yang tidak bertanduk akan dibalas untuk (kezaliman) kambing bertanduk,” (HR Muslim).

“Justeru, bagi kes ini (Zulfarhan Osman) segalanya terserah kepada Allah, yang Maha Adil dan Maha Bijaksana dalam menghakimi setiap perbuatan manusia,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada seorang pembunuh masih akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak di atas jenayah dilakukan sekiranya telah menerima hukuman di dunia.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu dilaporkan mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan sebaliknya mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengikuti insiden sadis membabitkan Zulfarhan yang menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa secara kejam apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba dengan rata-rata netizen menyifatkan hukuman ke atas pesalah sebagai tidak adil.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata dalam Islam terdapat hukuman bagi kesalahan membunuh, termasuk dalam kategori Qisas, yang bermaksud pembalasan setimpal.

“Dalil mengenai hukum Qisas dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 178: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu Qisas (balasan yang setimpal) dalam (kes) orang yang dibunuh…”

“Namun, Islam juga memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk memilih antara tiga perkara iaitu Qisas iaitu hukuman balas bunuh (hukuman mati) jika pembunuhan dilakukan dengan sengaja.

“Diyat iaitu ganti rugi atau pampasan darah yang dibayar kepada keluarga mangsa dan pengampunan iaitu keluarga mangsa boleh memilih untuk memaafkan pesalah.

“Dalam kes Zulfarhan Osman, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan hukuman di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang merangkumi hukuman bagi kes bunuh tanpa niat.

“Ini mungkin berasaskan bukti yang menunjukkan bahawa kesalahan itu tidak memenuhi syarat pembunuhan sengaja yang boleh dikenakan hukuman Qisas,” kata Mufti Pulau Pinang. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *