Terkini
Demam babi Afrika: 1,868 babi dilupuskan, Peniaga gesa kerajaan benar luaskan penternakan babi

- Persatuan Peniaga Daging Selangor menggesa kerajaan membenarkan industri penternakan babi diperluaskan bagi mengatasi kekurangan bekalan yang semakin meruncing akibat wabak demam babi Afrika (ASF) di negeri berkenaan.
- Pengerusinya, Lee Peng Hock mencadangkan kelompok muda digalakkan menceburi bidang penternakan babi untuk mengukuhkan industri tersebut.
- “Apabila bekalan domestik mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan, kita boleh membina ekosistem penternakan babi lebih sihat dan tidak bergantung kepada import,” katanya dipetik FMT pada Jumaat.
- Timbalan pengerusi persatuan itu, Sam Wong turut memberi amaran kekurangan babi akan menyebabkan harga daging babi meningkat.
KUALA LUMPUR — Persatuan Peniaga Daging Selangor menggesa kerajaan membenarkan industri penternakan babi diperluaskan bagi mengatasi kekurangan bekalan yang semakin meruncing akibat wabak demam babi Afrika (ASF) di negeri berkenaan.
Pengerusinya, Lee Peng Hock mencadangkan kelompok muda digalakkan menceburi bidang penternakan babi untuk mengukuhkan industri tersebut.
“Apabila bekalan domestik mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan, kita boleh membina ekosistem penternakan babi lebih sihat dan tidak bergantung kepada import,” katanya dipetik FMT pada Jumaat.
Peng Hock berkata pasaran daging babi lebih mampan juga dapat membantu menstabilkan bekalan dan memastikan standard kebersihan, kesihatan dan keselamatan lebih baik.
Langkah itu juga dikatakan dapat mengurangkan kesan jangka panjang ASF terhadap pasaran daging babi tempatan.
Pada 25 Februari lalu, media melaporkan sebanyak 1, 868 ekor babi dari dua ladang di Selangor telah dilupuskan bagi mengawal dan mencegah pemerebakan penyakit ASF.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, Dr Hassuzana Khalil berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 76,000 ekor babi yang disahkan dijangkiti ASF selepas ujian persampelan dilakukan terhadap ternakan itu di 114 ladang dilesenkan di Sepang dan Kuala Langat.
Pelupusan dilakukan menerusi kaedah eutanasia (euthanasia) menggunakan gas karbon dioksida berkepadatan tinggi sebelum ditanam di ladang berkenan dilaksanakan pada 5 Februari lalu.
Sementara itu, Timbalan pengerusi persatuan itu, Sam Wong turut memberi amaran kekurangan babi akan menyebabkan harga daging babi meningkat.
“Harga babi hidup kini dijual pada kadar RM1,480 bagi setiap 100kg, dan harga mungkin meningkat sebanyak RM100 hingga RM200 bagi setiap kilogram tambahan,” katanya.
Sam Wong berkata perkara itu boleh menyebabkan harga runcit daging babi meningkat sebanyak RM4 atau lebih bagi setiap kilogram. — The Merdeka Times
