Antarabangsa
Ben & Jerry’s dakwa CEO dipecat kerana enggan diam dalam isu Palestin

- Ben & Jerry’s menuduh syarikat induknya, Unilever, telah memecat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) jenama ais krim itu kerana enggan ‘gadai prinsip syarikat tersebut.
- “Dave dengan berani telah memperjuangkan misi sosial dan nilai syarikat, terus mendorong inovasi dalam rangkaian produk `, dan mencapai hasil kewangan yang kukuh, jauh mengatasi perniagaan ais krim Unilever yang lain.
- “Apa yang Dave tidak lakukan ialah apa yang Unilever mahu dia lakukan, iaitu ‘menggadaikan’ misi dan nilai progresif Ben & Jerry’s.” – Pengerusi Lembaga Bebas Ben & Jerry’s, Anuradha Mittal.
- Pada November lalu pula, syarikat itu mengambil tindakan undang-undang terhadap Unilever, menuduh syarikat tersebut cuba menghalangnya daripada membuat kenyataan awam yang menyokong pelarian Palestin dalam konflik di Gaza.
Ben & Jerry’s menuduh syarikat induknya, Unilever, telah memecat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) jenama ais krim itu kerana enggan gadai prinsip syarikat tersebut.
David Stever – yang telah menerajui syarikat itu selama hampir dua tahun setelah menyertainya sebagai pemandu pelancong pada tahun 1988 telah disingkirkan daripada jawatannya awal bulan ini, menurut satu pemfailan mahkamah oleh jenama yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Ben & Jerry’s mendakwa dalam satu penghujahan kepada Mahkamah Daerah AS bagi daerah selatan New York bahawa Unilever, syarikat pengguna berpangkalan di UK yang memiliki jenama seperti Marmite dan Dove, mahu menghentikan ketuanya daripada membuat kenyataan politik.
Pengerusi Lembaga Bebas Ben & Jerry’s, Anuradha Mittal berkata Dave sentiasa berani memperjuangkan misi sosial dan nilai syarikat.
“Dave dengan berani telah memperjuangkan misi sosial dan nilai syarikat, terus mendorong inovasi dalam rangkaian produk super premium, dan mencapai hasil kewangan yang kukuh, jauh mengatasi perniagaan ais krim Unilever yang lain.
“Apa yang Dave tidak lakukan ialah apa yang Unilever mahu dia lakukan, iaitu ‘menggadaikan’ misi dan nilai progresif Ben & Jerry’s,” tegas Mittal.
Tindakan mahkamah ini adalah episod terbaru dalam hubungan tegang antara jenama ais krim itu dan syarikat induknya, yang bulan lalu telah menggantikan Ketua Pegawai Eksekutifnya sendiri, Hein Schumacher, dengan Ketua Kewangannya, Fernando Fernandez, bagi mempercepatkan proses pemulihan syarikat.
Bulan lalu, Ben & Jerry’s menuduh Unilever mengarahkan mereka supaya berhenti mengkritik Donald Trump secara terbuka.
Pada November lalu pula, syarikat itu mengambil tindakan undang-undang terhadap Unilever, menuduh syarikat tersebut cuba menghalangnya daripada membuat kenyataan awam yang menyokong pelarian Palestin dalam konflik di Gaza.
Ia mendakwa Unilever telah melanggar terma penyelesaian sulit yang dipersetujui pada tahun 2022 selepas pertikaian mengenai rancangan untuk menghentikan penjualan produknya di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Ben & Jerry’s, yang diasaskan oleh Ben Cohen dan Jerry Greenfield pada tahun 1978, telah dibeli oleh syarikat barangan pengguna berpangkalan di UK itu pada tahun 2000. -The Merdeka Times
