Antarabangsa
Pintu masuk Rafah kembali dibuka, dikawal PA bersama pemantau EU

- Pada peringkat awal, perjalanan hanya dibenarkan dari satu arah iaitu dari Gaza ke Mesir, kata pegawai tersebut.
- Pintu masuk ini akan dibuka terlebih dahulu untuk 50 anggota Hamas dan 50 orang awam yang cedera bersama pengiring mereka.
- Pintu Masuk Rafah dengan Mesir merupakan salah satu laluan utama ke Gaza dan saluran penting untuk bantuan, namun ia telah ditutup sejak tentera Israel menguasainya pada Mei tahun lalu.
GAZA — Pintu masuk Rafah Gaza yang menghubungkan wilayah tersebut dengan Mesir akhirnya kembali dibuka pada Sabtu lalu berikutan syarat gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Menurut seorang pegawai Hamas, pembukaan sempadan tersebut akan dikendalikan oleh wakil dari Pihak Berkuasa Palestin (PA) bersama dengan pemantau dari Kesatuan Eropah (EU).
“Para perantara telah memaklumkan kepada Hamas mengenai kelulusan Israel untuk membuka pintu masuk Rafah pada hari Sabtu, setelah selesai pertukaran fasa keempat tahanan,” kata pegawai Hamas tersebut.
Sumber tersebut turut menjelaskan bahawa rakyat Palestin yang cedera akan dipindahkan melalui pintu masuk tersebut seperti yang tercatat dalam perjanjian gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan.
Pintu Masuk Rafah dengan Mesir merupakan salah satu laluan utama ke Gaza dan saluran penting untuk bantuan, namun ia telah ditutup sejak tentera Israel menguasainya pada Mei tahun lalu. Mesir dilapor menolak daripada terus membuka pintu sempadan tersebut selagi tentera Israel menguasainya.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata blok 27 negara telah mengerahkan misi pemantauan di pintu masuk tersebut atas permintaan Palestin dan Israel.
“Ia akan membantu kakitangan di sempadan Palestin dan membolehkan pemindahan individu keluar dari Gaza, termasuk mereka yang memerlukan rawatan perubatan,” tulisnya di X.
Sumber keselamatan Mesir mengesahkan bahawa anggota pasukan EU telah tiba di fasiliti tersebut.
Pada peringkat awal, perjalanan hanya dibenarkan dari satu arah iaitu dari Gaza ke Mesir, kata pegawai tersebut.
Pintu masuk ini akan dibuka terlebih dahulu untuk 50 anggota Hamas dan 50 orang awam yang cedera bersama pengiring mereka.
Pegawai tersebut menambah bahawa seramai 100 orang lagi terdiri daripada pelajar juga akan dibenarkan melalui sempadan tersebut atas dasar kemanusiaan. -The Merdeka Times
