Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) ‘Laluan Jordan’ lebih mudah, 170,000 tin daging korban dihantar ke Gaza – Nadir Al-Nuri

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman

KUALA LUMPUR – Laluan sempadan di utara Gaza di lintasan Erez, yang perlu diuruskan penghantaran bantuan melalui kerjasama Jordan, dilihat lebih mudah untuk menyampaikan bantuan ke kawasan utara Gaza yang terpisah dari selatan wilayah konflik itu.

Malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia (CGM) telah berjaya menyalurkan 170,000 tin daging korban dengan nilai RM2.6 juta sumbangan rakyat Malaysia yang dibawa masuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke utara Gaza sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata daging korban diperolehi dari India (proses sembelihan di negara itu) dan dihantar ke UAE untuk ditinkan sebelum dihantar ke Jordan untuk diagihkan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Sebab apa kita hantar ke UAE? Sebab hubungan yang UAE ada dengan Israel membenarkan mereka mudah untuk membenarkan barang yang ditinkan oleh syarikat di sana untuk masuk. 

“Jadi kita tinkan di UAE, hantar ke Jordan. Daripada Jordan, barulah dihantar masuk ke pintu sempadan sebelah utara itulah (Erez). 

“Masa itu, kita hantar dalam 170,000 tin (daging korban) untuk keluarga-keluarga yang berada di sebelah sana (utara Gaza). 

“Dan sekarang pun dimaklumkan dan ditawarkan kepada kita (CGM). Kita telah buat persediaan untuk Ramadan (untuk) hantar bantuan sebelah utara (Gaza) juga dengan nilai (bantuan) sekitar 2.2 juta ringgit melalui Jordan,” kata Nadir dalam Garis Krisis (GK) terbitan Studio Merdeka pada Sabtu malam.

Episod terkini podcast GK dengan tajuk “Lupakah kita kepada Gaza selepas Syria merdeka?” yang dihoskan wartawan dan aktivis kemanusiaan, Syed Azwan Syed Ali turut menampilkan selebriti TV yang juga aktivis kemanusiaan pro-Palestin, Farrah Adeeba.

Mengulas lanjut, Nadir berkata, kedua-dua laluan sempadan Gaza di selatan (di bawah kawalan Mesir) dan laluan utara di Erez (di bawah kawalan Israel) masih boleh digunakan untuk menghantar bantuan.

Namun laluan di Rafah terlalu sesak dan rumit dengan deretan trak-trak bantuan ‘tersadai’ di lintasan sempadan Mesir-Gaza itu.

“Sekarang kedua-duanya masih ada, tetapi laluan melalui Jordan adalah lebih mudah untuk dibenarkan masuk,” kata Nadir yang juga Pengerusi MyAqsa Defenders.

CGM buat masa tidak lagi menghantar bantuan melalui sempadan Rafah di selatan Gaza memandangkan kesukaran untuk menghantar bantuan di pintu sempadan itu.

Sebaliknya, menurut Nadir, ia membeli makanan atau keperluan yang sedia ada di dalam Gaza untuk diagihkan kepada rakyat Palestin yang berada di bawah serangan genosid Israel sejak Oktober tahun lalu. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *