Terkini
GISBH: Jumlah kanak-kanak diselamatkan kini 662 orang – Fahmi Fadzil
Jumlah kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melalui beberapa operasi pihak berkuasa kini berjumlah 662 orang, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata jumlah kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melalui beberapa operasi pihak berkuasa kini berjumlah 662 orang.
- Kesemua mereka juga kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.
- Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Selasa.
- Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
- Seramai 359 pengikut GISBH turut ditahan dalam Op berkenaan, termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu, dan Perlis, Selangor serta Pahang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.
PUTRAJAYA — Jumlah kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melalui beberapa operasi pihak berkuasa kini berjumlah 662 orang, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kesemua mereka juga kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“…kita tidak bincang perkara lain seperti isu fatwa di peringkat negeri, sama ada ajaran dibawa kumpulan ini sesat atau tidak. Boleh rujuk kepada fatwa daripada mufti,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu berkaitan GISBH Holdings Sdn Bhd dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Seramai 359 pengikut GISBH turut ditahan dalam Op berkenaan, termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu, dan Perlis, Selangor serta Pahang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat. — BERNAMA