Terkini
Tuduhan MCCBCHST tidak berasas, tiada penempatan baharu pegawai JAKIM di jabatan kerajaan – Fahmi
Kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berhubung penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar adalah tidak berasas.
- Kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berhubung penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar adalah tidak berasas.
- Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata kenyataan kumpulan perundingan agama bukan Islam itu menyebabkan tercetusnya salah faham.
- Bercakap kepada wartawan di sidang media di Putrajaya pada Selasa, Fahmi berkata tiada penempatan baharu membabitkan pegawai JAKIM di mana-mana jabatan atau kementerian, sebaliknya pegawai agensi sedia ada di sejumlah kementerian adalah mereka yang ditempatkan sejak dahulu.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat berhubung isu itu.
KUALA LUMPUR – Kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berhubung penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar adalah tidak berasas.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata kenyataan kumpulan perundingan agama bukan Islam itu menyebabkan tercetusnya salah faham.
Beliau berkata tiada penempatan baharu membabitkan pegawai JAKIM di mana-mana jabatan atau kementerian, sebaliknya pegawai agensi sedia ada di sejumlah kementerian adalah mereka yang ditempatkan sejak dahulu.
“Ini sebenarnya adalah dasar yang dibuat pada 2006, 2007 malah, ada dalam kalangan ahli Jemaah Menteri yang menjadi sebahagian dalam Kabinet ketika itu.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) sebagai contoh, beliau ada dalam Kabinet ketika itu dan mengingatkan Jemaah Menteri, waktu itu, itulah dasar yang diumumkan ketika itu.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga memberi peringatan bahawa sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana kementerian yang mendapat penempatan pegawai JAKIM baharu,” kata dipetik media tempatan pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pegawai JAKIM yang telah ditempatkan di jabatan kerajaan atau kementerian hanya membantu dari segi integriti dan pengisian kerohanian.
“Maka untuk mengeluarkan tuduhan bahawa pegawai JAKIM ada terbabit dalam isu dasar dalam kementerian mereka ditempatkan, itu terlalu jauh dari sasaran dan matlamat asal penempatan mereka.
“Mereka ditempatkan untuk membantu sama ada dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian berkaitan, bukan memberi pandangan berkaitan soal dasar.
“Jadi tuduhan oleh pihak ini, tidak patut mereka lontarkan kerana ia tidak berasas,” kata Fahmi dipetik Berita Harian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat berhubung isu itu. – The Merdeka Times