Connect with us

Terkini

PN hilang Kemaman: Mahkamah benarkan petisyen pilihan raya BN

Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November tahun lalu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PN hilang Kemaman: Mahkamah benarkan petisyen pilihan raya BN
Foto: Calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (berbaju biru).
  • Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November tahun lalu.
  • Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen berkenaan.
  • Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kemaman yang dimenangi Che Alias dengan 65,714 undi mengalahkan calon BN Datuk Seri Ahmad Said; calon PKR, Hasuni Sudin dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Menurut peguam Amin Othman yang mewakili Wan Mohamad Hisham selaku pempetisyen, hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen berkenaan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Amin berkata mahkamah memutuskan pemilihan Che Alias selaku Ahli Parlimen Kemaman yang dipilih ketika PRU15 adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah mengarahkan kos sebanyak RM30,000 dibayar oleh Che Alias kepada anak guamnya.

Perkara itu turut disahkan peguam Yusfarizal Yussoff, peguam PAS ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kemaman yang dimenangi Che Alias dengan 65,714 undi mengalahkan calon BN Datuk Seri Ahmad Said; calon PKR, Hasuni Sudin dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

Petisyen pilihan raya yang difailkan Wan Mohamad Hisham dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 12 Februari lalu, selepas mahkamah menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh responden (Che Alias).

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan ia dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh selepas membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham.

INFO: PRU15

Jumlah Pengundi: 139,423

Peratusan Kaum: M: 129,825; C:7,000; I:738; L:1,732

  1. Rosli Ab Ghani (Pejuang) 506
  1. CHE ALIAS HAMID (PAS) 65,714 MENANG – Majoriti 27,179
  1. Datuk Seri Ahmad Said (BN-UMNO) 38,535
  1. Hasuni Sudin (PH-PKR) 8,340

Jumlah undi 114,533

Mahkamah mengarahkan kos RM30,000 untuk dibayar oleh Responden kepada Pempetisyen.

Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh.

Selain di Terengganu, beberapa kawasan parlimen lain turut menyaksikan ada petisyen dikemukakan iaitu di Gua Musang, Segamat dan Masjid Tanah.

Di Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu Mahkamah Pilihan Raya membenarkan petisyen calon BN, Mohd Zubir Embong di Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Bagaimanapun pada PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, Amzad mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar 47,266 undi, berbanding 40,907 undi pada PRU15.

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Ahmad Amzad menang dengan majoriti 14,773 undi selepas memperoleh 42,988 undi menewaskan calon dari BN, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (28,215 undi) serta calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (15,380 undi).

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Marang dimenangi presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pada 27 Jun lalu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pempetisyen, Jasmira Othman gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Hassan turut mengarahkan pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Marang pada PRU15, diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, membayar kos RM50,000 kepada pihak Abdul Hadi.

Peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili Abdul Hadi, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan berkenaan yang disifatkan wajar dan menyeluruh.

Selain itu Mahkamah Pilihan Raya turut menerima petisyen daripada Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari lalu yang merupakan pengundi mewakili Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun, pada 5 September lalu Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan Mohd Azmi selepas pempetisyen memecat semua peguam termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Sebelumnya, pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen difailkan Mohd Azmi selepas menerima semua tiga alasan dalam bantahan awal Azizi termasuk tarikh petisyen difailkan melebihi had masa yang ditetapkan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dibicarakan secara penuh selepas mendapati ada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Sementara itu, pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M Ramasamy supaya petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk satu perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memerintahkan petisyen itu didengar di hadapan hakim lain.

Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April tahun ini yang menolak petisyen rayuan Ramasamy, selepas menerima bantahan awal dibangkitkan responden.

Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lalu, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi mengalahkan Ramasamy (MIC-BN), P Poobalan daripada PN dan Syed Hairoul Faizey daripada Pejuang.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Melaka menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh keputusan petisyen pilihan raya untuk kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu apabila pihak pempetisyen memohon menutup kes selepas gagal mengemukakan saksi penting untuk perbicaraan.

Media sebelum ini melaporkan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid, bagi menafikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kos RM20,000.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Sumber : Berita Harian

Author