Connect with us

Terkini

Gaji minimum tidak patut dijadikan rujukan bayar gaji lepasan ijazah

Gaji minimum RM1,500 tidak sepatutnya dijadikan rujukan atau penanda aras oleh majikan untuk membayar upah pekerja lepasan ijazah, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Gaji minimum tidak patut dijadikan rujukan bayar gaji lepasan ijazah
Foto: Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli.
  • Gaji minimum RM1,500 tidak sepatutnya dijadikan rujukan atau penanda aras oleh majikan untuk membayar upah pekerja lepasan ijazah, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
  • Gaji permulaan untuk lepasan ijazah sepatutnya naik lebih tinggi kerana gaji minimum ini adalah untuk pekerja tidak berkemahiran.
  • Mengulas Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023, Rafizi berkata sebahagian besar rakyat Malaysia dibayar gaji rendah, dengan 82 peratus daripada 6.45 juta pekerja formal bergaji di bawah RM5,000 sebulan dan 35 peratus daripada jumlah itu dibayar RM2,000 ke bawah pada Mac 2023.
  • Beliau berkata laporan itu juga menunjukkan median upah bulanan bagi pekerja formal pada Mac 2023 ialah RM2,600, tidak jauh dengan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM2,589.
  • Beliau berkata pihaknya telah mengadakan libat urus dengan kumpulan majikan bagi mendapatkan pandangan dan syarikat kecil serta sederhana yang mempunyai pekerja di bawah 50 orang juga sudah dimaklumkan secara dasar setakat ini.

PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) – Gaji minimum RM1,500 tidak sepatutnya dijadikan rujukan atau penanda aras oleh majikan untuk membayar upah pekerja lepasan ijazah, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata sebaliknya, gaji permulaan untuk lepasan ijazah sepatutnya naik lebih tinggi kerana gaji minimum ini adalah untuk pekerja tidak berkemahiran.

“Namun, dapatan awal statistik gaji menunjukkan gaji minimum itu digunakan sebagai gaji rujukan untuk membayar (upah) terutamanya lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran yang muda

“Ini satu fenomena yang memerlukan dasar yang segera untuk kita perbetulkan keadaan itu,” katanya kepada media selepas melancarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 pada Jumaat lalu. 

Hadir sama ialah Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.

Mengulas laporan itu, Rafizi berkata sebahagian besar rakyat Malaysia dibayar gaji rendah, dengan 82 peratus daripada 6.45 juta pekerja formal bergaji di bawah RM5,000 sebulan dan 35 peratus daripada jumlah itu dibayar RM2,000 ke bawah pada Mac 2023.

“Dengan penerbitan laporan ini, kita boleh yakin bahawa memang kita ada masalah gaji. la bukan cakap-cakap saja, sekarang ia boleh disahkan oleh data lebih enam juta pekerja dan perkara ini akan ditumpukan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata laporan itu juga menunjukkan median upah bulanan bagi pekerja formal pada Mac 2023 ialah RM2,600, tidak jauh dengan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM2,589.

“Kita memang ada masalah besar. Inilah yang dikatakan penstrukturan semula, ia bukan setakat mendapatkan pelaburan dan pertumbuhan (tetapi) memastikan apa jua pertumbuhan dan pelaburan yang kita rancang atau jana, ia harus mencerminkan kehidupan harian tenaga kerja kita,” katanya.

Rafizi berkata dasar atau model gaji progresif yang akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara hari ini, akan menjadi latar belakang yang penting untuk kerajaan menangani masalah berkaitan gaji.

Saya tahu la cabaran yang besar juga untuk majikan, kita perlu cari jalan untuk kita selesaikan Isu ini katanya yang yakin dasar atau model gaji progresif yang akan dibentangkan nanti dapat dilaksanakan secara praktikal dan mendapat sokongan majikan.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan libat urus dengan kumpulan majikan bagi mendapatkan pandangan dan syarikat kecil serta sederhana yang mempunyai pekerja di bawah 50 orang juga sudah dimaklumkan secara dasar setakat ini.

Sumber: Bernama

Author