Terkini
1,120 pekerja asing dibawa masuk tiada pekerjaan – KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan sejumlah 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini dari Januari hingga Mei lalu, tidak mempunyai pekerjaan.

- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan 1,120 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini dari Januari hingga Mei lalu, tidak mempunyai pekerjaan.
- Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah segera sudah dilakukan bagi mengesan ejen yang membawa masuk pekerja berkenaan selain turut menyenarai hitam majikan yang terbabit.
- “Usaha kami ketika ini adalah untuk membantu mereka untuk mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu. Ini tumpuan kita dahulu bagi memudahcara mereka yang sudah berada di sini.”
- “Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian, ini paling ramai dengan kebanyakannya dari Bangladesh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini hari ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan sejumlah 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini dari Januari hingga Mei lalu, tidak mempunyai pekerjaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah segera sudah dilakukan bagi mengesan ejen yang membawa masuk pekerja berkenaan selain turut menyenarai hitam majikan yang terbabit.
“Usaha kami ketika ini adalah untuk membantu mereka untuk mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu. Ini tumpuan kita dahulu bagi memudahcara mereka yang sudah berada di sini.
“Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian, ini paling ramai dengan kebanyakannya dari Bangladesh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Beliau berkata, biarpun kerajaan mempermudahkan pengambilan pekerja, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.
“Di satu sisi lima sektor ekonomi kritikal mengharapkan pekerja asing, menjadi tugas kerajaan untuk mempermudahkan dari segi polisi.
“Di sisi lain ada juga elemen tak bertanggungjawab, apabila kita permudahkan, dia bawa masuk dan iklan dalam media sosial, siapa hendak kerja cari mereka dan ini jelas bertentangan dengan dasar kerajaan,” katanya.
Namun, beliau berkata, perkara terbabit dapat dikesan dengan cepat oleh Kementerian Sumber Manusia seterusnya dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
“Perkara sebegini memberi kesan kepada rating kita dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang.
“Malaysia berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 Pemerhatian menerusi laporan terbaru itu, namun usaha sedaya mungkin perlu ditumpukan bagi meningkatkan tahap ke tier 2, jadi kita tidak mahu ini menjejaskan usaha terutama dalam membantera elemen buruh paksa,” katanya.
Sumber: Berita Harian
