Antarabangsa
Erdogan berlapang dada walau siapa pun menang pilihan raya Turkiye
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan menerima dengan hati terbuka keputusan yang bakal ditentukan melalui pengundian pusingan kedua pilihan raya negara itu.
- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal ditentukan melalui pengundian pusingan kedua pilihan raya negara itu.
- “Kami menghormati kehendak negara yang dimanifestasikan melalui peti undi,” – Recep Tayyip Erdogan.
- Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitter pada Isnin, sehari selepas pilihan raya pusingan pertama.
- Turkiye bakal melanjutkan pilihan raya ke pusingan kedua selepas Erdogan dan pesaingnya, Kemal Kilicdaroglu masing-masing gagal meriah majoriti 50 peratus undi.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan menerima dengan hati terbuka keputusan yang bakal ditentukan melalui pengundian pusingan kedua pilihan raya negara itu.
Memetik laporan TRT World, dia berkata walau apa sahaja keputusannya, pemenang pilihan raya ialah “demokrasi Turkiye dan bangsa Turkiye.”
“Kami menghormati kehendak negara yang dimanifestasikan melalui peti undi,” tulis Erdogan di Twitter pada Isnin, selepas pilihan raya yang berlangsung sehari sebelumnya.
“Semoga kita akan mencapai kejayaan bersejarah,” katanya yang yakin pakatannya mampu meraih kemenangan dalam undian pusingan kedua 28 Mei ini.
Terdahulu, ketua pihak berkuasa pilihan raya negara itu berkata Türkiye akan mengadakan pusingan kedua pada 28 Mei untuk memilih presiden selepas tiada calon memenangi majoriti 50 peratus undi pada Ahad.
Bagaimanapun, Erdogan dilihat mendahului dengan 49.51 peratus undi berbanding pesaingnya, Kemal Kilicdaroglu yang meraih 44.88 peratus.
Seorang lagi calon, Sinan Ogan pula hanya meraih 5.17 peratus undi sahaja.
Ini menjadikan pengundian pusingan kedua nanti hanya akan menentukan adakah Erdogan akan terus memegang jawatan Presiden Turkiye ataupun bakal diambil alih Kilicdaroglu.
Sumber: TRT World