Connect with us

Terkini

Penduduk PPR kecewa Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas terbengkalai, gesa DBKL wujud tapak rekreasi baharu

Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus kecewa apabila Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas kini dalam keadaan terbengkalai.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Foto: Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas.
  • Penduduk PPR Sungai Bonus kecewa apabila Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas kini dalam keadaan terbengkalai.
  • Tapak rekreasi itu ditutup tanpa sebarang notis rasmi dan hanya diketahui melalui perkongsian cerita daripada pekerja pembersihan di kawasan itu.
  • Harap DBKL dapat mewujudkan satu tapak rekreasi baharu. – Muhammad Khairul Abdul Azis, 25.
  • “Waktu itu pusing-pusing. Tengok belakang, pekerja-pekerja cabut. Saya pun tanyalah mereka, pekerja itu beritahu nak tutup semua,” – Ahmad Daryll Ramadan Ahmad Wildan, 12.
  • “Masa saya sekolah rendah dia masih nak buat taman ini. Lama nak buat taman ini.. Tapi dia macam tak siapkan sepenuhnya”. – Penduduk, Muhammad Farhan Hamidi, 26.
  • Khamis lalu, satu aduan pembaca dihantar kepada The Merdeka Times dari penduduk sekitar Taman Kejiranan Ayer Panas, Kuala Lumpur mengenai keadaan terkini Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas yang dalam keadaan menyedihkan. 
  • Pejabat pengurusannya didapati ditutup, kemudahan di taman itu terabai dan sampah di merata-rata kawasan taman rekreasi terbabit.

KUALA LUMPUR – Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus kecewa apabila Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas kini dalam keadaan terbengkalai.

Lebih menyedihkan apabila tapak rekreasi itu ditutup tanpa sebarang notis rasmi dan hanya diketahui melalui perkongsian cerita daripada pekerja pembersihan di kawasan itu.

Penduduk PPR berkenaan, Muhammad Khairul Abdul Azis, 25, berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mewujudkan satu tapak rekreasi baharu buat penduduk-penduduk yang kebanyakan adalah golongan B40. 

Foto: Muhammad Khairul Abdul Azis, 25.

“(Tapak rekreasi baru) untuk kita jogging ke beriadah sebab kawasan ini strategik kita boleh bersukan semua. Syoklah.

“Tapi bila dah macam ini, kita tak tahulah nak ke mana. Sini taman terdekat di Titiwangsa dan Danau Kota,” katanya ketika ditemu bual The Merdeka Times minggu ini.

Beliau mendakwa punca taman rekreasi itu terbiar kerana ia telah dijual kepada sebuah syarikat yang tidak diketahui namanya.

“Kawasan ini bawah DBKL tapi pelik pula senang-senang dijual kepada orang. Sebab nak naik itu lama,” katanya.

Ahmad Daryll Ramadan Ahmad Wildan, 12, berkata beliau mula menyedari peralatan permainan di taman rekreasi itu mula ditanggalkan pada awal Januari lalu.

Foto: Ahmad Daryll Ramadan Ahmad Wildan, 12.

“Waktu itu pusing-pusing. Tengok belakang, pekerja-pekerja cabut. Saya pun tanyalah mereka, pekerja itu beritahu nak tutup semua.

“Saya duduk kat PPR ini sudah lebih 10 tahun. Taman ini dulu ada tiga gelongsor besar, satu gelongsor baby dan satu gelongsor budak-budak. Selepas itu, ada buaian dan taman dua tingkat.

“Selain itu, di taman ini juga ada tempat-tempat gim. Di lombong itu pun ada tempat untuk memancing ikan talapia,” katanya.

Muhammad Farhan Hamidi, 26, berkata Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas dibuka kepada umum ketika dia berada di sekolah menengah.

Foto: Muhammad Farhan Hamidi, 26.

“Masa saya sekolah rendah dia masih nak buat taman ini. Lama nak buat taman ini. Dia wujud tahun 2015.

“Tapi dia macam tak siapkan sepenuhnya. Selepas itu dia renovate, dia buat, continue. Bila dah continue, dah buat semua. Tahu-tahu nak kena dismantle balik dalam tahun lepas ke tahun ini,” katanya.

Muhammad Farhan memberitahu taman rekreasi itu akan digantikan dengan projek residen Kota Semarak.

“Saya sebagai penduduk memang kecewa dengan keadaan taman tersebut. Nak tunggu dia siap memang lamalah. Saya nak pergi sekolah pun berdebu-debu, berbedak-bedak. Kadang nak pergi kokurikulum, berlecak.

“Nak cakap siap tahun bila pun tak tahu sebab dia punya siap tu macam tak siap. Ada sahaja projek,” katanya.

Khamis lalu, satu aduan pembaca dihantar kepada The Merdeka Times oleh penduduk sekitar Taman Kejiranan Ayer Panas, Kuala Lumpur mengenai keadaan terkini Taman Rekreasi Kolam Ayer Panas yang dalam keadaan menyedihkan.

Pejabat pengurusannya juga didapati ditutup, kemudahan di taman itu terabai dan sampah di merata tempat.

Taman itu dikelilingi bangunan flat kos rendah skim perumahan kerajaan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang majoriti penduduknya adalah B40 yang menjadikan taman tersebut sebagai kawasan beriadah mereka. – The Merdeka Times

Author