Connect with us

Terkini

Subsidi, bantuan tunai bersasar mudahkan kerajaan urus fiskal lebih cekap

Pemberian subsidi dan bantuan tunai yang lebih bersasar perlu dilaksanakan bagi pengurusan fiskal yang lebih mampan untuk jangka masa panjang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Subsidi, bantuan tunai bersasar mudahkan kerajaan urus fiskal lebih cekap
Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Pemberian subsidi dan bantuan tunai bersasar perlu dilaksanakan bagi pengurusan fiskal lebih mampan untuk jangka masa panjang. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • “Bagi tangani isu inflasi terutamanya inflasi makanan, kerajaan terus sediakan pelbagai bantuan sosial termasuk bantuan tunai kepada kumpulan sasar bagi kurangkan kos sara hidup yang lebih tinggi terutamanya berkaitan keperluan makanan harian.”
  • “Jika keadaan inflasi jadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutama bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan terjejas akibat kenaikan harga mendadak,” katanya.

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi dan bantuan tunai yang lebih bersasar perlu dilaksanakan bagi pengurusan fiskal yang lebih mampan untuk jangka masa panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan pemberian subsidi dan bantuan tunai lebih bersasar, perbelanjaan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menangani isu inflasi terutamanya inflasi makanan, kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan sosial termasuk bantuan tunai kepada kumpulan sasar bagi mengurangkan kos sara hidup yang lebih tinggi terutamanya berkaitan keperluan makanan harian.

“Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion sudah disalurkan secara berperingkat mulai 17 Januari lalu.

“Penyaluran ini dilaksanakan sama ada dengan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi penerima STR yang tiada akaun bank,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Pada masa sama, Anwar berkata, tindakan Bank Negara Malaysia berhenti seketika setelah melaraskan kadar dasar untuk menilai keberkesanan dasarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ketika mesyuarat pada Januari lalu, mengambil keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus bagi menilai kesan pelarasan kumulatif OPR yang lalu terhadap prospek inflasi dan ekonomi Malaysia.

“Jika keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutama bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan terjejas akibat kenaikan harga mendadak.

“Impak kewangan dari segi kejatuhan kuasa beli akibat inflasi yang tinggi dan tidak terkawal adalah jauh lebih tinggi berbanding impak kewangan ke atas individu daripada kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tekanan harga yang wujud berikutan permintaan tinggi apabila kegiatan ekonomi kembali pulih selepas negara beralih ke fasa endemik pada tahun lalu.

Katanya, tekanan permintaan ini menyumbang kepada inflasi dalam negeri menjadi lebih meluas dan berterusan di mana kebanyakan bank pusat di seluruh dunia turut menghadapi cabaran ini.

“Sesetengahnya menghadapi tekanan permintaan yang lebih tinggi, justeru, memerlukan mereka mengambil langkah yang lebih agresif dalam mengetatkan dasar monetari di ekonomi-ekonomi tersebut.

“Berdasarkan faktor ini dan mengambil iktibar dari pengalaman negara lain yang terpaksa menaikkan kadar dasar dengan ketara dalam tempoh masa yang pendek, MPC membuat pelarasan kadar OPR pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, namun begitu, berikutan kesan semasa dasar monetari, kesan ketara terhadap pengurangan tekanan permintaan akan mengambil masa kerana perubahan tingkahlaku isi rumah dan perniagaan biasanya memerlukan masa.

Katanya, setakat ini, tekanan harga sudah menunjukkan tanda awal penurunan pada akhir tahun lalu, walaupun inflasi kekal pada tahap yang tinggi.

Sumber: Berita Harian

Author