Terkini
Kerajaan Perpaduan mampu menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinannya mampu menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini, walaupun misinya itu dipertikaikan Ahli Parlimen pembangkang.
- Usaha itu diyakini mampu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif bukan sahaja daripada kerajaan, malah juga pembabitan pihak luar termasuk syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO). – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Beliau turut mengambil contoh kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar yang direalisasikan zaman pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz berikutan tiada penyalahgunaan kuasa.
- “Apa yang perlu ialah tekad sebab itu banyak inisiatif kita buat bukan sahaja Rahmah tetapi juga Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sedang dijalankan meluas,” katanya ketika menggulung usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinannya mampu menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini, walaupun misinya itu dipertikaikan Ahli Parlimen pembangkang.
Perdana Menteri berkata, usaha itu diyakini mampu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif bukan sahaja daripada kerajaan, malah juga pembabitan pihak luar termasuk syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau turut mengambil contoh kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar yang direalisasikan pada zaman pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz berikutan tiada penyalahgunaan kuasa.
“Dari parti Islam menyatakan ini tidak mungkin, namun kita guna jentera sebaik mungkin memastikan seluruh jentera kerajaan tanpa tolak ansur menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga.
“Apa yang perlu ialah tekad sebab itu banyak inisiatif kita buat bukan sahaja Rahmah tetapi juga Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sedang dijalankan meluas.
“Selain kerajaan kita minta GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan NGO untuk memastikan program ini berjalan disusuli dengan langkah berikut supaya mereka terlepas (kemiskinan tegar) bukan sahaja tahun ini tapi tahun berikutnya,” katanya ketika menggulung usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Sumber: Berita Harian