Terkini
Pemimpin seperti Ramasamy tidak diperlukan di Malaysia – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka
Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenakan tindakan lebih tegas ke atas kenyataan bersifat prejudis yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy.
- “Jika tiada tindakan diambil, saya percaya ini akan menjadi barah di dalam kerajaan perpaduan ini,” kata Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.
- Muhammad Akmal juga mengaitkan isu Ramasamy dengan kontroversi membabitkan pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn.
- Katanya, jika atlet hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn dikenakan tindakan, maka Ramasamy patut dikenakan tindakan lebih tegas.
KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenakan tindakan lebih tegas ke atas kenyataan bersifat prejudis yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy.
Beliau juga mengaitkan isu itu dengan kontroversi membabitkan pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn dalam satu hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
“Jika atlet (Hanis Nadiah) kita dikenakan tindakan atas kenyataan yang berbaur perkauman walaupun atlet itu tidak menyebut mana-mana bangsa atas kenyataan itu, maka saya harap tindakan yang sama malah lebih tegas juga perlu diambil terhadap individu ini,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menyifatkan pemimpin seperti Ramasamy tidak diperlukan di negara ini.
“Malaysia tidak memerlukan pemimpin sebegini. Jika tiada tindakan diambil, saya percaya ini akan menjadi barah di dalam kerajaan perpaduan ini,” katanya.
Muhamad Akmal berkata dominasi bangsa Melayu di dalam sektor awam, salah satu sebab utamanya adalah purata bangsa Melayu di negara ini menyumbang sebanyak 60 peratus.
“Maka sudah tentu perkhidmatan awam didominasi oleh kaum yang teramai.
“Boleh lihat pada mana-mana negara dalam dunia bangsa apa yang mendominasi perkhidmatan awam negara mereka, sudah tentu ia akan didominasi oleh bangsa yang dominan di dalam negara tersebut,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan Ramasamy mendesak Perdana Menteri agar melakukan reformasi perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Anwar berkata tiada masalah ramai bangsa Melayu bekerja sebagai kakitangan kerajaan sebagai reaksi kepada gesaan yang dibuat oleh Ramasamy.
Menurut Perdana Menteri, pandangan tersebut hanyalah padangan peribadi Ramasamy dan bukan pandangan kerajaan campuran serta parti DAP. – The Merdeka Times