Terkini
Pemandu mabuk: Peguam tidak setuju, nyawa dibalas nyawa
Tuntutan netizen yang mahukan nyawa dibalas dengan nyawa atau istilah lainnya dalam hukum Islam iaitu Qisas dikenakan ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, tidak dipersetujui seorang peguam.

- Tuntutan netizen yang mahukan nyawa dibalas dengan nyawa atau istilah lainnya dalam hukum Islam iaitu Qisas dikenakan ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, tidak dipersetujui seorang peguam.
- Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sememangnya satu kesalahan, namun adakah ia sampai ke tahap di mana kesalahan itu adalah dengan niat membunuh yang sebenar-benarnya untuk membunuh.
- Besar kemungkinan situasi itu tidak mencapai konsep nyawa dibalas dengan nyawa seperti mana tertulis dalam hukum Islam, kata peguam itu.
- Selain Qisas, dalam hukuman Islam mempunyai diyat di mana (keluarga) mangsa boleh diberi pampasan atau ganti rugi dan ia boleh diadaptasikan dalam situasi itu bagi menggantikan proses kenaikan hukuman untuk setiap lima tahun.
KUALA LUMPUR – Tuntutan netizen yang mahukan nyawa dibalas dengan nyawa atau istilah lainnya dalam hukum Islam iaitu Qisas dikenakan ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, tidak dipersetujui seorang peguam.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sememangnya satu kesalahan, namun adakah ia sampai ke tahap di mana kesalahan itu adalah dengan niat membunuh yang sebenar-benarnya untuk membunuh.
Katanya, besar kemungkinan situasi itu tidak mencapai konsep nyawa dibalas dengan nyawa seperti mana tertulis dalam hukum Islam.
“Maksud saya setakat kefahaman saya tapi benda ini kena semak pakar agama atau pakar Islam, iaitu dalam Islam untuk mengambil nyawa di atas kesalahan sebab kehilangan nyawa dia mesti ada unsur kesalahan jenayah yang menyebabkan kehilangan nyawa tersebut.
“Islam berkata nyawa yang diambil secara jahat bukan nyawa diambil minda orang itu tidak mempunyai pemikiran jahat.
“Cuma dia tersilap langkah mengambil perkara-perkara yang menjadikannya dari segi undang-undang tidak waras secara undang-undang untuk didapati tidak bersalah mempunyai niat jahat iaitu dadah, alkohol dan macam-macam perkara lain yang boleh menjadikan dia tidak waras dalam banyak perkara,” katanya kepada The Merdeka Times pada Isnin.
Menurut Haniff Khatri, selain Qisas, dalam hukuman Islam juga kita mempunyai diyat di mana (keluarga) mangsa boleh diberikan pampasan atau ganti rugi.
Katanya, hukuman diyat boleh diadaptasikan dalam situasi ini bagi menggantikan proses kenaikan hukuman untuk setiap lima tahun.
Menurutnya, hukuman berbentuk demikian adalah lebih baik digunakan khususnya apabila melibatkan kes kehilangan nyawa ataupun kehilangan keupayaan anggota tubuh badan mangsa yakni berkenaan jenayah seperti cubaan membunuh, membunuh dan kes-kes kemalangan jalan raya disebabkan berada dalam pengaruh dadah atau alkohol.
“Tidak ada konsep ketidakadilan dalam pemakaian sistem diyat semata-mata sebab orang miskin tidak akan boleh bayar sebab kita tak boleh ukur keadilan dengan keadaan yang berbeza-beza.
“Semestinyalah daripada azali miskin dengan kaya daripada duniawi tidak sama sebab yang miskin tidak akan ada makan nasi briyani tapi yang kaya tidak akan langsung makan nasi lauk ikan kering.
“Itu pun dah tidak adil. Macam mana nak cakap undang-undang itu kena adil?” katanya.
Haniff Khatri berkata tiada masalah untuk diyat atau bayar ganti rugi dikenakan ke atas orang bukan Islam kalau ia sudah diterapkan menjadi undang-undang sivil kerana mereka juga rakyat Malaysia.
Menurut mereka, hukuman sedia ada yang dikenakan ke atas pemandu mabuk adalah ringan dan langsung tidak menakutkan terutama melibatkan kes kematian mangsa tidak bersalah. – The Merdeka Times
