Terkini
Peluang KJ jadi MB lebih luas di Kelantan berbanding Selangor
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesyorkan Khairy Jamaluddin bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan kerana peluangnya untuk menduduki kerusi Menteri Besar lebih cerah berbanding di Selangor atau negeri ini.

- Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesyorkan Khairy Jamaluddin bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan kerana peluangnya untuk menduduki kerusi Menteri Besar lebih cerah berbanding di Selangor atau negeri ini.
- Mengulas kenyataan Ketua Angkatan Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang yakin Khairy boleh diangkat menjadi Menteri Besar jika menyertai BERSATU dan menang PRN, beliau berkata, peluang bekas Ketua Pemuda UMNO itu lebih terbuka di Kelantan.
- Sebelum ini, Wan Ahmad Fayshal yang juga Ahli Parlimen Machang yakin Perikatan Nasional (PN) boleh menguasai Negeri Sembilan atau Selangor jika Khairy atau KJ bertanding mewakili BERSATU dan gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesyorkan Khairy Jamaluddin bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan kerana peluangnya untuk menduduki kerusi Menteri Besar lebih cerah berbanding di Selangor atau negeri ini.
Mengulas kenyataan Ketua Angkatan Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang yakin Khairy boleh diangkat menjadi Menteri Besar jika menyertai BERSATU dan menang PRN, beliau berkata, peluang bekas Ketua Pemuda UMNO itu lebih terbuka di Kelantan.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayshal yang juga Ahli Parlimen Machang yakin Perikatan Nasional (PN) boleh menguasai Negeri Sembilan atau Selangor jika Khairy atau KJ bertanding mewakili BERSATU dan gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Katanya lagi, berdasarkan kebolehan dan populariti, Khairy juga boleh diangkat menjadi Menteri Besar andai menang kerusi ditandinginya di mana-mana satu daripada dua negeri terbabit jika berjaya ditawan PN.
Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan Khairy yang dipecat UMNO bulan lalu, menyatakan minat bertanding PRN di Selangor dengan beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang, namun tidak mendedahkan parti politik mana menawarkan jawatan itu.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri, di sini hari ini, berkata Wan Ahmad Fayshal sebagai wakil rakyat di Kelantan boleh mencadangkan Khairy bertanding PRN di negeri berkenaan.
“Wan Ahmad Fayhsal (Ahli Parlimen di Kelantan), kalau Khairy bertanding di Kelantan lagi baik, boleh jadi Menteri Besar Kelantan. Jadi, Wan Ahmad Fayhsal cadangkanlah supaya (Khairy) bertanding di Kelantan, di sana ada lebih peluang.
“Saya rasa di Kelantan, (KJ) ada peluang yang lebih terbuka luas, sebab yang cadangkan pun orang Kelantan,” katanya.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata, PH Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah sekiranya bekas Ahli Parlimen Rembau itu berhasrat bertanding di negeri ini pada PRN akan datang.
Katanya, demokrasi harus diraikan dengan sebaiknya dan dalam hal itu, terpulang kepada tuan punya badan untuk membuat keputusan.
“Saya dapat tahu Selangor ada membuat tawaran kepada KJ untuk bertanding di negeri itu pada PRN akan datang dan dia pun kata seronok hendak bertanding di Selangor. Dia tak cakap nak bertanding di Negeri Sembilan, walaupun banyak cakap-cakap dia akan bertanding di Negeri Sembilan.
“Dia sendiri tak beri respon, terpulanglah kat dia. Ini negeri demokrasi, kita raikan, semua akan cakap dia boleh menang (PRN), itu politik yang saya selalu cakap, kalau tanya saya pun, saya kata boleh menang,” katanya.
Sumber: Berita Harian
