Terkini
‘Menu Rahmah’ dorong peniaga restoran turunkan harga makanan
Pelancaran Menu Rahmah mendorong beberapa pengusaha restoran untuk turut menurunkan harga makanan jualan masing-masing
- Pelancaran Menu Rahmah RM5 mendorong beberapa pengusaha restoran sekitar bandar raya ini turut turunkan harga jualan walaupun tidak terbabit dalam program itu.
- Ada restoran yang dikunjunginya tidak menyertai program Menu Rahmah tetapi didapati mengambil inisiatif menurunkan harga makanan antara kira-kira 20 hingga 30 peratus. – Pelanggan, Huzaifah Basyeer, 54
- “Ia lebih murah kira-kira RM2 hingga RM3 berbanding harga sebelum ini. Diharapkan lebih banyak pengusaha restoran akan mengambil inisiatif sama menurunkan harga makanan bagi meringankan beban penduduk.”
- Media sebelum melaporkan lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.
- Ia selaras pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, Selasa lalu, bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.
JOHOR BAHRU: Pelancaran Menu Rahmah yang menawarkan hidangan tengah hari dan malam pada harga serendah RM5, mendorong beberapa pengusaha restoran di sekitar bandar raya ini untuk turut menurunkan harga makanan jualan masing-masing walaupun tidak terbabit dalam program itu.
Pelanggan, Huzaifah Basyeer, 54, berkata ada restoran yang dikunjunginya tidak menyertai program Menu Rahmah tetapi didapati mengambil inisiatif menurunkan harga makanan antara kira-kira 20 hingga 30 peratus.
Justeru, beliau menyifatkan tindakan pengusaha restoran terbabit sebagai strategi persaingan sihat, malah bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat, terutama golongan B40.
“Saya terkejut apabila harga makanan di beberapa restoran juga turun sejak pelaksanaan program Menu Rahmah, dipercayai sebagai menyahut seruan kerajaan. Sesetengah pengusaha restoran dilihat menurunkan harga sebagai strategi perniagaan bagi menarik perhatian pelanggan.
“Ia lebih murah kira-kira RM2 hingga RM3 berbanding harga sebelum ini. Diharapkan lebih banyak pengusaha restoran akan mengambil inisiatif sama menurunkan harga makanan bagi meringankan beban penduduk,” katanya.
Pemilik restoran, Shukri Samin, 62, mengaku turut menurunkan harga makanan tertentu jualannya.
Sekiranya kos barangan mentah dapat diturunkan, beliau percaya harga makanan dijual di restoran akan turut dikurangkan.
“Buat masa ini, harga sesetengah menu tidak dapat diturunkan kerana bahan masakannya adalah mahal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata gerak kerja memperkasakan program Menu Rahmah sedang giat dijalankan di negeri ini.
Beliau sekali gus berharap lebih ramai pengusaha restoran di Johor akan menyahut inisiatif itu, manakala pihaknya memantau pelaksanaan program itu dari semasa ke semasa.
Media sebelum melaporkan lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.
Ia selaras pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, Selasa lalu, bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dipetik berkata justeru diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.
Sumber: Berita Harian