Connect with us

Terkini

Beri pilihan pramugari berhijab, bertudung seperti kakitangan industri perhotelan

Syarikat penerbangan tempatan disaran mengikuti amalan industri perhotelan yang memberi pilihan kepada kakitangan Muslim berhijab/bertudung sewaktu bekerja.

Rasyidah Zulkifli

Published

on

Beri pilihan pramugari berhijab, bertudung seperti kakitangan industri perhotelan
Foto: Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani
  • Syarikat penerbangan tempatan disaran mengikuti amalan industri perhotelan memberi pilihan kepada kakitangan Muslim bertudung sewaktu bekerja.
  • Saranan itu selaras dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 dan kod etika pemakaian yang dimasukkan dalam draf Garis Panduan Anti Gangguan Seksual (GS).
  • Kod etika pemakaian sopan tidak mustahil dilaksanakan dalam industri penerbangan dengan persetujuan bersama semua pemegang taruh. – Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani
  • Isu kod pemakaian dan gangguan seksual perlu dilihat secara holistik berdasarkan laporan/aduan sekiranya ia berlaku. – Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin Abdul Wahab

 

KUALA LUMPUR  – Syarikat penerbangan tempatan disaran mengikuti amalan industri perhotelan yang memberi pilihan kepada kakitangan Muslim berhijab/bertudung sewaktu bekerja.

Saranan itu selaras dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 dan kod etika pemakaian yang dimasukkan dalam draf Garis Panduan Anti Gangguan Seksual (GS).

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata kod etika pemakaian sopan tidak mustahil dilaksanakan dalam industri penerbangan di negara ini dengan persetujuan bersama semua pemegang taruh (pihak terlibat).

Beliau memberi contoh bagaimana industri perhotelan memberi pilihan kepada pekerja  untuk memakai tudung atau sebaliknya.

“Bagi mereka yang sudah bertudung, kita tidak bersetuju untuk mereka membuka tudung dan ini konsep yang saya nampak.

“Namun, MTUC tidak menerima apa-apa laporan (gangguan seksual) daripada pramugari, di media sahaja, tapi ada video pakai seatbelt dan kenapa tidak diselitkan kesedaran gangguan seksual.

 

Foto: Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani

 

“Ini lebih kepada membuka minda dan kesedaran supaya lebih ditekankan kepada mana-mana pihak sama ada kepada pihak yang mengganggu atau pihak yang diganggu,” katanya ketika ditemu bual The Merdeka Times di pejabat MTUC baru-baru ini.

TMT sebelum ini melaporkan kod etika pemakaian yang dimasukkan dalam draf Garis Panduan Anti Gangguan Seksual (GS) sebagai salah salah satu elemen pencegahan, mendapat bantahan wakil feminis.

Perkara itu didedahkan wakil sebuah NGO yang hadir Bengkel Libat Urus Penyelarasan Pembangunan Garis Panduan Pelaksanaan Advokasi Antigangguan Seksual bersama wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 23 Disember lalu.

Syarikat penerbangan Eropah seperti SkyUp Airlines (Ukraine) dilaporkan mula menukar seragam kru kabin lebih sopan dan selesa atas faktor gangguan seksual dan keselamatan.

Begitu juga dengan British Airways yang akan memperkenalkan seragam baharu, termasuk memberi pilihan kru kabin wanitanya memakai tunik dan tudung, bermula musim panas tahun ini.

Mengulas isu sama, Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin Abdul Wahab berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kes gangguan seksual dalam kalangan pramugari.

“Jadi kita cuma lihat di sini tidak adanya aduan daripada mana-mana pihak selain daripada ahli politik ataupun pihak-pihak lain.

“Isu gangguan seksual ini kena tepat. Kalau ada betul-betul aduan, sila tulis kepada kita sebab nak tahu berapa ramai yang sebenarnya diganggu atas sebab uniform. 

“NUFAM kena lihat lebih holistik, kalau satu dua aduan, bukan tak boleh diambil kira cuma dia kena tepat kepada isu yang hendak kita bawa,” katanya.

Ismail berkata pramugari diberi pilihan untuk bekerja di syarikat penerbangan lain jika merasakan seragam di syarikat sedia ada, tidak memenuhi etika pemakaian sesuai. -– The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Bertenang, warga Palestin tetamu kita – Menteri Agama

Semua pihak diminta bertenang dan tidak membuat kesimpulan melulu berhubung insiden membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur di ibu negara.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
  • Semua pihak diminta bertenang dan tidak membuat kesimpulan melulu berhubung insiden membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur di ibu negara.
  • Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata orang ramai tidak sepatutnya membuat penilaian hanya berdasarkan tindakan segelintir individu sahaja.
  • “Mereka (rakyat Palestin) adalah tetamu kita dan kita perlu memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.
  • “Kita perlu memahami rakyat Palestin tertekan dengan keadaan di negara mereka. Keberadaan mereka di sini tanpa keluarga boleh menyebabkan mereka berasa tidak tenang,” katanya dipetik media tempatan selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Diri Solat Jumaat pertama Masjid Az-Zahrawi Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
  • Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan warga Palestin membuat kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur sehingga menyebabkan kerosakan terhadap beberapa barangan di premis itu.
  • Kumpulan itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan pasukan keselamatan yang tidak membenarkan salah seorang daripada mereka untuk menginap di luar pusat berkenaan.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta bertenang dan tidak membuat kesimpulan melulu berhubung insiden membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata orang ramai tidak sepatutnya membuat penilaian hanya berdasarkan tindakan segelintir individu sahaja.

“Mereka (rakyat Palestin) adalah tetamu kita dan kita perlu memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.

“Kita perlu memahami rakyat Palestin tertekan dengan keadaan di negara mereka. Keberadaan mereka di sini tanpa keluarga boleh menyebabkan mereka berasa tidak tenang,” katanya dipetik media tempatan selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Diri Solat Jumaat pertama Masjid Az-Zahrawi Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Mohd Na’im turut mengajak semua rakyat berdoa supaya rakyat Palestin diberikan kekuatan, kesabaran dan ketenangan.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha dan memberi perhatian khusus terhadap perkara itu supaya insiden sedemikian tidak berulang.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan sekumpulan warga Palestin membuat kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur sehingga menyebabkan kerosakan terhadap beberapa barangan di premis itu.

Kumpulan itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan anggota pasukan keselamatan yang tidak membenarkan salah seorang daripada mereka untuk menginap di luar pusat berkenaan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending