Terkini
PrEP buat homoseksual, satu kelegaan atau bencana?
Rancangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang ingin mengadakan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) kepada golongan berisiko termasuk LGBT untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV, dihujani dengan pelbagai reaksi masyarakat.
KUALA LUMPUR – Rancangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang ingin mengadakan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) kepada golongan berisiko termasuk LGBT untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV, dihujani dengan pelbagai reaksi masyarakat.
Bagi golongan LGBT khususnya pengamal homoseks, mungkin ia khabar gembira, memandangkan ketika ini seks sejenis dijangka akan terus menyumbang kepada kes positif HIV menjelang tahun akan mendatang.
Namun, bagi golongan lain ia menimbulkan kebimbangan apabila tindakan KKM ini dilihat sekadar dapat mengurangkan kadar jangkitan HIV, sedangkan pada masa sama menggalakkan perlakuan seks songsang.
Perlu diingatkan juga, penggunaan PrEP ini bukanlah disediakan khusus untuk golongan terbabit melainkan ia diguna pakai kepada kesemua golongan berisiko dijangkiti HIV seperti penagih dadah, pasangan kepada orang yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA), pasukan perubatan yang terdedah dengan jangkitan HIV; doktor, pembantu perubatan jururawat dan petugas makmal yang terpaksa merawat pesakit HIV.
Jadi, apakah sebenarnya PrEP ini?
Profilaksis Pra-pendedahan (PrEP) adalah satu pil yang berfungsi mencegah mana-mana individu berisiko tinggi daripada dijangkiti HIV atau lebih mudah ia merupakan pil pencegahan jangkitan HIV.
Pil di bawah jenama Truvada itu, mengandungi dua ubat iaitu Tenofovir dan Emtricitabine yang digunakan dengan kombinasi ubat lain untuk merawat HIV.
PrEP mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari untuk ia mencapai tahap perlindungan yang cukup tinggi dalam badan.
Menurut portal Majlis Aids Malaysia (MAC), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mengesyorkan individu yang mengambil PrEP untuk terus mengambilnya secara berterusan ataupun setiap hari.
Portal yang sama turut, memetik kajian daripada negara Perancis dan British, mereka dapati mengambil PrEP dengan dos berganda iaitu dua hingga 24 jam sebelum hubungan seks, diikuti dengan satu pil sehari selepas dan dua hari lagi selepas melakukan hubungan seks mempunyai kesan perlindungan sehingga 86 peratus .
Situasi ini menunjukkan kesan perlindungan PrEP bermula lebih cepat jika dos berganda diambil.
Walaupun, PrEP tidak menyediakan perlindungan 100 peratus namun ia dilaporkan boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV semasa hubungan seks dengan peratusan lebih daripada 90 peratus apabila digunakan secara konsisten mengikut preskripsi ditetapkan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, menggabungkan penggunaan PrEP dengan kondom membawa kepada tahap perlindungan sebanyak 99.2 peratus.
Bagaimanapun, PrEP hanya berfungsi untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV bukan penyakit kelamin lain seperti seperti sifilis, gonorea, klamidia dan hepatitis berikutan itu dinasihatkan kesemua individu mengamalkan seks selamat.
Kesan buruk penggunaan PrEP adalah ia boleh menjejaskan fungsi buah pinggang, justeru ujian buah pinggang harus dijalankan untuk mereka yang mengambil rawatan PrEP, lapor portal My PrEP Locator.
Mengapa PrEP diberi secara percuma kepada golongan berisiko?
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata jangkitan baharu HIV atau AIDS di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi untuk negara membendung AIDS sehingga ia tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang 2030.
Malaysia komited untuk menamatkan AIDS menjelang 2030 dengan mencapai sasaran global 95-95-95 iaitu memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus mereka hidup dengan HIV mengetahui status mereka, 95 peratus menerima rawatan Antiretroviral (ARV) dan 95 peratus yang menerima rawatan memiliki kualiti kehidupan yang baik.
Berikutan itu juga, rawatan PrEP akan dimulakan di klinik kesihatan pada 2023 sebagai alternatif lain bagi mencegah jangkitan HIV kepada golongan berisiko tinggi.
PrEP pada awal, disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia WHO pada tahun 2014, yang menawarkannya kepada pengamal homoseks atau Men Sex Men (MSM) untuk mengurangkan kadar jangkitan HIV.
Kemudian, menerusi Malaysian Consensus Guidelines on Antiretroviral Therapy 2017, penggunaan PrEP disyorkan di mana ketika itu kadar keberkesanan ia berada di antara 44 peratus hingga 86 peratus serta sangat bergantung kepada pematuhan.
Terbaharu, Presiden MAC, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Azwa berkata, rancangan untuk menyediakan PrEP secara percuma di beberapa klinik kesihatan awam, atau Klinik Kesihatan adalah bertujuan meningkatkan penggunaan ubat itu kepada kira-kira 9,000 hingga 10,000 golongan utama di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.
Katanya, program itu yang dijangka akan bermula awal Januari ini dijalankan di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC), dengan kerjasama KKM, dan dibiayai oleh The Global Fund dalam tempoh dua tahun.
Menurut The Global AIDS Monitoring Report 2022, projek ini mempunyai dua objektif utama iaitu yang pertama untuk meningkatkan pengambilan dan liputan PrEP dalam kalangan golongan berisiko.
Kedua, data dikumpul semasa projek demonstrasi itu akan dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan tentang kebolehlaksanaan dan kebolehterimaan PrEP, serta seterusnya memudahkannya untuk layak mendapat pembiayaan berterusan daripada kerajaan.
Sebelum ini, pengambilan PrEP dalam kalangan golongan berisiko telah dihadkan berikutan permasalahan kos, kerana pengguna perlu membeli PrEP daripada pihak swasta atau farmasi standard dengan kos purata RM90 hingga RM 120 sebotol.
Bayangkan berapa kos perlu dikeluarkan, memandangkan penggunaan ubat ini perlu diambil secara konsisten pada setiap hari bagi memastikan ia berfungsi dengan efektif.
Mungkin, dengan pemberian secara percuma kepada golongan berisiko ini mampu meringankan sedikit beban golongan itu.
Masyarakat tak setuju PrEP diberi kepada LGBT?
Jika kita lihat reaksi masyarakat rata-ratanya tidak bersetuju PrEP diberi secara percuma kepada golongan LGBT yang aktif membuat hubungan seksual dan menegaskan bahawa mereka tidak rela duit cukai yang mereka berikan kepada kerajaan digunakan untuk golongan itu.
Lebih-lebih lagi usaha kempen pencegahan seks songsang seakan tidak kedengaran di negara ini.
Ironinya, Ogos lalu, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Dr Adeeba Kamarulzaman menyatakan bahawa ujian saringan HIV pra-perkahwinan mandatori adalah pembaziran kepada dana kesihatan awam kerana hasil positifnya yang boleh diabaikan kurang daripada satu peratus.
Bukankah inisiatif begitu, berbentuk mencegah lebih baik daripada mengubati selain ia seiring dengan Maqasid Syar’iyyah yang keempat iaitu menjaga keturunan.
Namun, mengapa melibatkan kes golongan ini kita sekadar menyediakan ‘rawatan’ tanpa pencegahan yang lebih baik seperti kempen ‘Say No To LGBT’? Kenapa ia kelihatan tidak selantang kempen anti dadah?
Keberkesanan kempen itu dapat dilihat apabila trend jangkitan HIV angkara penggunaan jarum suntikan atau penyalahgunaan dadah yang sebelum ini mendahului tangga statistik mulai menurun.
Berikutan itu, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyarankan agar penggunaan ubat PrEP yang diberikan kepada mereka yang mengamalkan homoseksualiti mestilah diiringi dengan kempen memerangi tingkahlaku berisiko tinggi.
Perlu diingatkan, kita tidak melarang mereka daripada mendapatkan rawatan namun mengapa kita lebih memilih untuk ‘merawat’ daripada mencegah perbuatan mereka yang jelas menyumbang kepada permasalahan ini? – The Merdeka Times
Antarabangsa
NATO mulakan latihan nuklear besar-besaran di Eropah Utara
Latihan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berskala besar digelar “Steadfast Noon” dengan penyertaan 2,000 tentera dari 13 negara perikatan, membabitkan sehingga 60 pesawat, bermula pada Isnin di utara Eropah, lapor Sputnik.
- Latihan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berskala besar digelar “Steadfast Noon” dengan penyertaan 2,000 tentera dari 13 negara perikatan, membabitkan sehingga 60 pesawat, bermula pada Isnin di utara Eropah, lapor Sputnik.
- Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dilaporkan berkata latihan ketenteraan itu akan dilakukan terutama di UK, di Laut Utara serta di Belgium dan Belanda.
- Menurut Rutte, latihan ketenteraan itu harus menunjukkan kepada mana-mana musuh bahawa NATO bersedia bertindak balas terhadap sebarang ancaman.
- Latihan itu akan berlangsung selama dua minggu dengan lapan pangkalan udara akan terlibat.
- Ia akan membabitkan pelbagai pesawat yang mampu membawa senjata nuklear, pengebom, pejuang pengiring dan pesawat mengisi minyak serta pesawat peninjau dan peperangan elektronik akan mengambil bahagian dalam latihan itu.
Latihan nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berskala besar digelar “Steadfast Noon” dengan penyertaan 2,000 tentera dari 13 negara perikatan, membabitkan sehingga 60 pesawat, bermula pada Isnin di utara Eropah, lapor Sputnik.
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dilaporkan berkata latihan ketenteraan itu akan dilakukan terutama di UK, di Laut Utara serta di Belgium dan Belanda.
Menurut Rutte, latihan ketenteraan itu harus menunjukkan kepada mana-mana musuh bahawa NATO bersedia bertindak balas terhadap sebarang ancaman.
Latihan ketenteraan itu dirancang dan disediakan selama lebih dari setahun serta tiada senjata tempur akan digunakan dalam latihan itu, kata NATO sebelum ini.
Latihan itu akan berlangsung selama dua minggu dengan lapan pangkalan udara akan terlibat.
Ia akan membabitkan pelbagai pesawat yang mampu membawa senjata nuklear, pengebom, pejuang pengiring dan pesawat mengisi minyak serta pesawat peninjau dan peperangan elektronik akan mengambil bahagian dalam latihan itu.
Perkhidmatan akhbar NATO mengingatkan bahawa pakatan ketenteraan itu sentiasa mengambil langkah untuk memastikan kebolehpercayaan dan keberkesanan pasukan pencegahan nuklear.
Walaupun NATO menganggap latihannya itu dirancang, organisasi anti-perang mengkritik kelakuan mereka dalam konteks ketegangan antarabangsa. – The Merdeka Times