Connect with us

Terkini

Pekerja kilang didenda RM3,500 hina Agong dan Permaisuri Agong

Seorang pekerja kilang didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini kerana menghina Agong dan Raja Permaisuri Agong serta dua pemimpin tertinggi negeri ini pada April lalu. 

Wartawan TMT

Published

on

Pekerja kilang didenda RM3,500 hina Agong dan Permaisuri Agong
Foto: Ronney Soo Eng Lee (tengah) diiringi dua pegawai polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
  • Mengikut fakta kes, pengadu diarahkan untuk mengalihkan gambar institusi Raja-Raja Melayu dan pemimpin tertinggi Melaka yang digantung di pejabat utama kilang itu oleh pengurus besar. 
  • Ketika melakukan tugasan itu, muncul tertuduh yang mengeluarkan kenyataan penghinaan berkenaan menyebabkan pengadu berasa tidak puas hati.
  • Kenyataan tertuduh jelas menunjukkan dia sengaja melakukan provokasi yang boleh memecahkan keamanan awam. 

MELAKA: Seorang pekerja kilang didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini kerana menghina Agong dan Raja Permaisuri Agong serta dua pemimpin tertinggi negeri ini pada April lalu. 

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman denda itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Ronney Soo Eng Lee, 44, dan mensabitkannya dengan pertuduhan, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan. 

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,

Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan percakapan jelik sehingga mendatangkan marah kepada Kamal Bashah Jantan, 52, (pengadu) serta mengetahui ia mungkin boleh memecahkan keamanan awam. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh pada 15 April lalu, kira-kira jam 8 pagi. 

Mengikut fakta kes, pengadu diarahkan untuk mengalihkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta Mohd Ali dan Sulaiman yang digantung di pejabat utama kilang itu oleh pengurus besar. 

Ketika melakukan tugasan itu, muncul tertuduh yang mengeluarkan kenyataan penghinaan berkenaan menyebabkan pengadu berasa tidak puas hati kerana ia membabitkan institusi Raja-Raja Melayu dan pemimpin tertinggi Melaka. 

Kenyataan tertuduh jelas menunjukkan dia sengaja melakukan provokasi yang boleh memecahkan keamanan awam. 

Terdahulu, peguam Ishak Mohd Kari merayu hukuman ringan dikenakan kerana anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan. 

Katanya, tertuduh juga sudah dikenakan tindakan disiplin oleh majikan susulan kejadian itu dan tidak pernah mengeluarkan perkataan sedemikian lagi selain masih berhubung baik dengan rakan sekerja. 

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh.

Sumber: Berita Harian

 

 

Author

Terkini

Kenyataan ekonomi terjejas akibat gerakan boikot tidak tepat — Pengerusi BDS Malaysia

Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan dakwaan mengatakan ekonomi akan terjejas berikutan gerakan boikot dijalankan ketika ini adalah tidak tepat.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail.
  • Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata kenyataan itu tidak tepat kerana mereka yang tidak membeli minuman dan makanan di kedai diboikot akan membuat perbelanjaan di kedai lain serta peluang pekerjaan juga akan bertambah di syarikat lain yang tidak terbabit secara langsung dengan Israel, atau ia mengutuk kezaliman Israel secara terbuka.
  • Mohd Nazari tidak menafikan dalam jangka pendek pekerja di syarikat diboikot akan terjejas susulan gerakan itu, namun ia hanya masalah bersifat sementara kerana dalam jangka panjang kelompok berkenaan boleh bekerja di syarikat pilihan baru pengguna yang akan berkembang.
  • Katanya, terdapat banyak restoran tempatan dimaklumkan kepada beliau sedang berkembang dan menjadi lebih maju, susulan boikot ke atas syarikat francais asing seperti McDonald’s dan Starbucks.
  • “Jika pengurusan syarikat terbabit ingin pastikan perniagaan mereka tidak diboikot dan nasib pekerja mereka tidak terjejas, senang sahaja… jangan ada apa-apa kaitan langsung dengan Israel,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X pada Khamis yang menyatakan pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR — Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan dakwaan mengatakan ekonomi akan terjejas berikutan gerakan boikot dijalankan ketika ini adalah tidak tepat.

Pengerusinya, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata ia tidak tepat kerana mereka yang tidak membeli minuman dan makanan di kedai diboikot akan membuat perbelanjaan di kedai lain.

Selain itu, peluang pekerjaan juga akan bertambah di syarikat lain yang tidak terbabit secara langsung dengan Israel, atau ia mengutuk kezaliman Israel secara terbuka.

“Bukan susah untuk kutuk kezaliman Israel. Saya pun hairan kenapa ada syarikat yang masih enggan lakukan benda yang baik ini.

“Jika mereka kutuk kezaliman Israel secara jelas dan terbuka, saya yakin pengguna akan pergi balik ke kedai mereka,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X pada Khamis yang menyatakan pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP turut memuat naik tangkap layar artikel berita Cina bertajuk, ‘Gelombang boikot menyebabkan pekerja KFC dipotong gaji, pendapatan bulanan pasangan RM600 untuk menyara 3 anak’.

Foto: Tangkap layar ciapan Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Mohd Nazari tidak menafikan dalam jangka pendek pekerja di syarikat diboikot akan terjejas susulan gerakan itu, namun ia hanya masalah bersifat sementara kerana dalam jangka panjang kelompok berkenaan boleh bekerja di syarikat pilihan baru pengguna yang akan berkembang.

Malah, katanya terdapat banyak restoran tempatan dimaklumkan kepada beliau sedang berkembang dan menjadi lebih maju, susulan boikot ke atas syarikat francais asing seperti McDonald’s dan Starbucks.

“Jika pengurusan syarikat terbabit ingin pastikan perniagaan mereka tidak diboikot dan nasib pekerja mereka tidak terjejas, senang sahaja… jangan ada apa-apa kaitan langsung dengan Israel. 

“Keluar dari Israel. Atau keluarkan kenyataan mengutuk kezaliman Israel di Gaza,” kata pengerusi BDS Malaysia. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending