Terkini
Mydin saran kerajaan hapus subsidi, beri wang tunai bulanan untuk B40
Kerajaan perlu menghapuskan pemberian subsidi khususnya membabitkan minyak masak serta telur dan menggantikannya dengan subsidi bersasar menerusi pemberian tunai bulanan untuk golongan B40.

- Kerajaan perlu hapus subsidi khususnya minyak masak serta telur dan ganti dengan subsidi bersasar beri tunai bulanan untuk golongan B40.
- Langkah ini jamin situasi menang-menang untuk semua pihak dan kurangkan bebanan kerajaan tanggung subsidi.
- “Minyak masak tanpa subsidi bernilai RM30.90 (lima kg) dan minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 (sekilogram), jadi bezanya RM18.40 sebulan.
- “Daripada kerajaan beri subsidi RM4 bilion setahun dan ada ketirisan, lebih baik nilai RM18.40 itu dimasukkan ke dalam subsidi bersasar kepada keluarga B40.” – Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghapuskan pemberian subsidi khususnya membabitkan minyak masak serta telur dan menggantikannya dengan subsidi bersasar menerusi pemberian tunai bulanan untuk golongan B40.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata langkah ini dapat menjamin situasi menang-menang untuk semua pihak dan mengurangkan bebanan kerajaan untuk menanggung subsidi.
Beliau berkata, ketika ini, semua keluarga membeli minyak bersubsidi dan kerajaan menanggung kos sehingga RM4 bilion setahun untuk pemberian subsidi kepada rakyat.
“Minyak masak tanpa subsidi bernilai RM30.90 (lima kg) dan minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 (sekilogram), jadi bezanya RM18.40 sebulan.
“Daripada kerajaan memberi subsidi RM4 bilion setahun dan ada ketirisan, lebih baik nilai RM18.40 itu dimasukkan ke dalam subsidi bersasar kepada keluarga B40.
“Jadi daripada kerajaan salurkan RM4 bilion, lebih baik kerajaan peruntukkan RM1.5 bilion untuk golongan B40 ini supaya mereka juga dapat beli minyak masak,” katanya kepada BH.
Semalam, beliau bertemu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, bagi mencari titik persamaan dalam menyelesaikan masalah harga barang dan kos sara hidup.
Beliau, yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), turut menyatakan cadangan mengimport telur ayam dari negara luar adalah tidak praktikal memandangkan harganya jauh lebih tinggi dari negara ini.
Mengulas lanjut, Ameer berkata, kerajaan sepatutnya menghentikan eksport telur ke luar negara dan mengapungkan harga telur bagi memastikan bekalan telur dalam negara mencukupi dan .
Sementara itu, beliau juga meminta kerajaan menangguhkan pindaan Akta Pekerja 1955, yang mana ia akan meningkatkan kos perbelanjaan kepada peniaga.
Beliau berkata, berdasarkan pindaan itu, pekerja dengan gaji di bawah RM4,000 boleh menuntut kerja lebih masa, manakala cuti ibu bersalin dinaikkan daripada 90 hari kepada 98 hari dan cuti paterniti daripada tiga hari kepada lapan hari.
“Seeloknya pindaan itu ditangguhkan sehinggalah ekonomi kembali pulih kerana bimbang apabila ia dilaksanakan, peniaga terpaksa menaikkan harga barang untuk menampung kos berkenaan.
“Saya harap kerajaan dapat mendengar pendapat kami daripada pihak industri. Janganlah ingat peniaga ini kaya sentiasa kerana ekonomi kini tidak stabil,” katanya.
Sumber : Berita Harian
