Antarabangsa
Insiden tembakan di Paris: Suspek punyai sejarah keganasan ‘perkauman’
Seorang lelaki warga Perancis berusia 69 tahun ditahan polis setelah melepaskan tembakan ke arah pusat kebudayaan Kurdish di Paris Jumaat lalu, hingga mengorbankan tiga mangsa.
- William M, 69, ditahan polis setelah melepaskan tembakan ke arah pusat kebudayaan Kurdish di Paris, Jumaat lalu hingga mengorbankan tiga mangsa.
- Senjata digunakan pesara pemandu kereta api itu adalah pistol jenis Colt 1911 US Army.
- Seorang peniaga berhampiran tempat kejadian berkata dia mendengar tujuh hingga lapan das tembakan.
- Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin berkata suspek “jelas mahu menyasarkan warga asing”.
- Lelaki bersenjata itu, yang mempunyai sejarah keganasan perkauman, pada mulanya menyasarkan pusat kebudayaan Kurdish, sebelum memasuki salun dandanan rambut tempat dia ditahan pihak polis.
- News.com.au melaporkan rusuhan tercetus di jalanan Paris susulan tindakan pelampau berhaluan kanan itu yang jelas menyasarkan warga asing hingga menyaksikan tiga maut dalam insiden tembakan itu.
PARIS – Seorang lelaki warga Perancis berusia 69 tahun ditahan polis setelah melepaskan tembakan ke arah pusat kebudayaan Kurdish di Paris Jumaat lalu, hingga mengorbankan tiga mangsa.
Portal ABC melaporkan seorang wanita, dua lelaki terbunuh dan kira-kira tiga mangsa cedera parah dalam kejadian membabitkan pelampau berhaluan kanan itu.
Senjata digunakan pesara pemandu kereta api itu adalah pistol jenis Colt 1911 US Army.
Seorang peniaga berhampiran tempat kejadian berkata dia mendengar tujuh hingga lapan das tembakan dilepaskan penembak, William M.
“Keadaan pada masa itu benar-benar panik. Kami mengunci diri kami di dalam kedai,” katanya.
Satu lagi sumber yang dekat dengan tempat kejadian berkata: “Seorang pesara masuk ke dalam bangunan dan kelihatan mula menembak secara rambang.
“Polis telah menahan dan merampas senjatanya. Pihak berkuasa juga menasihatkan orang ramai untuk mengelak kawasan itu,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin berkata suspek “jelas mahu menyasarkan warga asing”.
Beliau bagaimanapun “tidak pasti” tujuan lelaki itu untuk membunuh “Kurds khususnya”.
“Kami masih belum tahu motif sebenar beliau dan tiada maklumat juga setakat ini berhubung kaitan suspek dengan aktivis ultra kanan, katanya.
William adalah ahli kelab sukan menembak “dan mempunyai beberapa senjata berdaftar”, kata menteri itu.
Sabtu lalu, pendakwa raya Paris melanjutkan tempoh tahanan William selama 24 jam dan memberikan pertuduhan tambahan kerana bertindak dengan “motif perkauman”.
Lelaki bersenjata itu, yang mempunyai sejarah keganasan perkauman, pada mulanya menyasarkan pusat kebudayaan Kurdish, sebelum memasuki salun dandanan rambut tempat dia ditahan pihak polis.
News.com.au melaporkan rusuhan tercetus di jalanan Paris susulan tindakan pelampau berhaluan kanan itu yang jelas menyasarkan warga asing hingga menyaksikan tiga maut dalam insiden tembakan pada Jumaat lalu.
Sumber: News.com.au, ABC