Terkini
KJ dicadang sebagai TPM jika BN menang PRU15
Pemuda Umno mencadangkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

- Pemuda Umno mencadangkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15, kata Exconya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
- Muhamad Muqharabbin berkata langkah cadangan itu jika dapat diumum antara lain mampu menjamin kemenangan besar BN.
- “Saya percaya, seandainya ini dapat dijanjikan, rakyat Malaysia dan pengundi muda khususnya akan melihat sebuah jaminan perubahan besar parti Umno dan BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Putrajaya: Pemuda Umno mencadangkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Exconya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, langkah cadangan itu jika dapat diumum antara lain mampu menjamin kemenangan besar BN.
“Saya percaya, seandainya ini dapat dijanjikan, rakyat Malaysia dan pengundi muda khususnya akan melihat sebuah jaminan perubahan besar parti Umno dan BN.
“Saya melihat bagaimana Khairy begitu diterima orang Sungai Buloh, seolah-seolah kini hanya Sungai Buloh sahaja yang ada pilihan raya.
“Ini jelas, kenapa KJ (Khairy) diterima oleh setiap golongan lapisan masyarakat. Ini adalah kerana kejayaan luar biasa beliau di setiap kementerian yang ditunjanginya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy, menyuarakan hasrat memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.
Pertama kali menyatakannya secara terbuka, Khairy menggunakan pentas ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi, bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada PRU-15, 19 November ini.
Selain itu, Muqharabbin berkata, orang muda mahu melihat perubahan landskap politik dalam setiap parti, justeru BN perlu berani menonjolkan dinamik dengan memberi ruang kepada pemimpin muda seperti Khairy.
“Saya yakin, seandainya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sudah diputuskan parti sebagai Perdana Menteri, berani dan yakin meletakkan Khairy sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, Saya percaya sepenuhnya, dengan izin Allah, Barisan Nasional akan menang besar.
“Ini kerana Malaysia akan dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa di peringkat lokal bahkan juga antarabangsa,” katanya.
Sumber: Harian Metro
