Terkini
DAP hanya akan isytihar harta jika PH menang – Anthony Loke
DAP tidak menetapkan dasar untuk calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta mereka.

- “Kami (DAP) tidak mempunyai dasar sedemikian (mengisytiharkan aset kami)”- Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP.
- Menurut Anthony, DAP hanya akan tetapkan dasar isytihar harta jika Pakatan Harapan (PH) menang dan membentuk kerajaan.
- Beliau mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata setiap calon parti pada PRU15 perlu isytihar harta bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.
GEORGETOWN: DAP tidak menetapkan dasar untuk calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta mereka.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata mereka hanya akan berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.
“Kami tidak mempunyai dasar sedemikian (mengisytiharkan aset kami).
“Hanya jika kami dipilih dan mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet, kami akan berbuat demikian (mengisytiharkan aset) seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di di pasar Cecil Street di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beliau mengulas selepas ditanya sama ada DAP akan mengikut langkah PKR dalam pengisytiharan harta dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, setiap calon parti pada PRU15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.
Rafizi dilaporkan berkata, dengan mewajibkan semua calon mengisytiharkan harta, ia akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.
Mengulas lanjut, Loke berkata, momentum PH di seluruh negara ketika ini semakin meningkat.
“Dalam tempoh 10 hari akan datang, kami akan terus berusaha keras dan berkempen habis-habisan.
“Apa yang kami bawa ialah kempen yang positif. Kempen yang membawa harapan kepada pengundi dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, PH berbeza dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan taktik lama serta fitnah lama.
“Mereka menakutkan orang Melayu bahawa sekiranya PH menang, negara akan diperintah oleh DAP.
“Apa yang boleh saya katakan undi untuk PH adalah undi untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (sebagai Perdana Menteri) dan bukan untuk Anthony Loke. Tetapi satu undi untuk BN adalah satu undi untuk Zahid Hamidi (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.
Selain itu, Loke turut menzahirkan keyakinan bahawa kesemua 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang boleh dimenangi PH.
Sumber: Berita Harian
