Terkini
[VIDEO] Pesta Halloween dipenuhi ratu drag, transgender diserbu JAWI, PDRM
Pesta Halloween yang menampilkan ratu ‘drag’ (lelaki berpakaian wanita) sebagai penghibur dan golongan transgender didakwa berhadapan serbuan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pihak polis pada Sabtu.
![[VIDEO] Pesta Halloween dipenuhi ratu drag, transgender diserbu JAWI, PDRM](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2022/10/video-pesta-halloween-dipenuhi-ratu-drag-transgender-diserbu-jawi-pdrm.jpg)
- Pesta Halloween menampilkan ratu ‘drag’ (lelaki berpakaian wanita) sebagai penghibur dan golongan transgender didakwa berhadapan serbuan JAWI dan pihak polis pada Sabtu.
- Di Twitter, aktivis LGBT Numan Afifi dakwa hampir 20 orang – dipercayai terdiri ratu drag dan individu transgender – diangkut kenderaan Black Maria pada tengah malam kejadian dan ditahan di pejabat Jawi.
- “Pertuduhan disiasat pegawai JAWI bagi acara itu malam tadi(Sabtu) ialah ‘membuat maksiat’ dan ‘mempromosikan maksiat’, masing-masing mengikut Seksyen 28 dan 35 dibawah Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan,” – Numan Afifi.
KUALA LUMPUR – Pesta Halloween yang menampilkan ratu ‘drag’ (lelaki berpakaian wanita) sebagai penghibur dan golongan transgender didakwa berhadapan serbuan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pihak polis pada Sabtu.
Serbuan itu dilakukan semasa acara Halloween berlangsung di RexKL yang terletak di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.
Saksi di tempat kejadian menerusi hantaran di Facebook berkata pada mulanya kesemua ratu ‘drag’ telah ditarik keluar namun tidak pasti sama ada mereka akan ditahan atau menjalani ujian air kencing, kata Joanne Kam.
Pada masa sama, di Twitter, aktivis LGBT Numan Afifi mendakwa hampir 20 orang – dipercayai terdiri daripada ratu drag dan individu transgender – diangkut dengan kenderaan Black Maria pada tengah malam kejadian dan ditahan di pejabat Jawi.
Difahamkan, peguam telah dipanggil ke tempat pesta itu dan Numan kemudiannya menulis ciapan kira-kira jam 1.30 pagi bahawa 20 sukarelawan didapati menjamin mereka yang ditahan.
“Pertuduhan yang disiasat oleh pegawai JAWI bagi acara itu malam tadi(Sabtu) ialah ‘membuat maksiat’ dan ‘mempromosikan maksiat’, masing-masing mengikut Seksyen 28 dan 35 dibawah Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan,” kata Numan Afifi menerusi ciapan di Twitter pada Ahad di mana dia di antara yang dipanggil untuk disoal siasat.
Untuk rekod, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan menjadi satu kesalahan bagi mana-mana lelaki yang, di mana-mana tempat awam, memakai pakaian wanita dan menyamar sebagai wanita untuk tujuan tidak bermoral.
Bagaimanapun insiden tersebut mendapat reaksi yang berbagai daripada netizen khususnya pengguna Twitter di mana ada yang menyokong tindakan pihak berkuasa manakala terdapat mereka mengkritik dengan beranggapan ia satu pelanggaran hak asasi serta kebebasan. – The Merdeka Times
