Connect with us

Terkini

“Stesen TV dan syarikat produksi digesa wujudkan jabatan pematuhan syariah,” – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menggesa kesemua stesen televisyen dan syarikat produksi mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

“Stesen TV dan syarikat produksi digesa wujudkan jabatan pemantuhan syariah,” - Menteri Agama
Foto: Datuk Idris Ahmad (kanan) bersama Datuk Yusof Haslam (kiri).
  • Ia berperanan menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan.
  • Usaha itu bagi menyediakan kandungan hiburan menepati garis panduan agama dan mengelakkan budaya yang salah dinormalisasikan melalui dunia penyiaran.
  • “Kita amat gusar dengan trend penyiaran drama di stesen TV menggunakan dialog-dialog “double meaning” dan “soft-porno”, ditambah aksi-aksi pelakon tidak senonoh seperti yang tular sebelum ini.” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad
  • Hiburan itu adalah satu fitrah namun biarlah ia bertepatan dan berlandaskan agama serta syariat.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menggesa kesemua stesen televisyen dan syarikat produksi mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan salah satu usaha untuk menyediakan kandungan hiburan yang menepati garis panduan agama dan mengelakkan budaya yang salah dinormalisasikan melalui dunia penyiaran.

“Karya-karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya bertentangan dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielakkan sama sekali. Ia mesti ditentang habis-habisan bermula daripada kita semua,” katanya pada Selasa menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan akan pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam dan kecenderungan masyarakat yang tidak dididik dalam berhibur.

“Kita berasa amat gusar dengan trend penyiaran drama-drama di stesen TV yang menggunakan dialog-dialog “double meaning” dan “soft-porno”, ditambah aksi-aksi pelakon yang amat tidak senonoh dengan negara Malaysia seperti yang pernah tular sebelum ini. 

Ia telah mengundang rasa marah masyarakat,” beliau berkata demikian pada pertemuan bersama para pihak Industri Penyiaran dan Filem yang diadakan di Hotel Tenera pada 30 Ogos 2022.

Katanya, beliau tidak menafikan bahawa hiburan itu adalah satu fitrah namun baginya biarlah hiburan tersebut bertepatan dan berlandaskan agama serta syariat.

“Peluang saya bertemu dengan para pemain industri penyiaran adalah satu peringatan bersama untuk menjayakan agenda lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan melampau dan tidak hanya melihat kepada keuntungan semata-mata,” katanya.

Tambahnya, dunia penyiaran perlu menitikberatkan isu moral yang membina untuk masyarakat Malaysia terutamanya anak muda.

Menurut Datuk Idris Ahmad berdasarkan maklum balas para pemain industri masih ramai penonton yang mahukan rancangan berunsurkan Islamik serta bertepatan dengan syariat agama.

Beliau mengharapkan akan wujud nafas baru dalam dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat.

Sumber : Facebook Idris Ahmad

Author